DUNIA

DUTA MESIR KE MALAYSIA ANJUR SAMBUTAN HARI KEBANGSAAN

17/07/2024 07:40 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Duta Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr menganjurkan  majlis resepsi sempena sambutan Hari Kebangsaan negara Arab itu, pada Isnin.

Majlis itu diadakan bersempena ulang tahun ke-72 Revolusi Mesir pada Julai 1952.

Sambutan Hari Kebangsaan itu telah dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang serta  Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad. 

Lebih daripada 300 tetamu, antaranya pegawai kerajaan, warga Mesir di Malaysia, diplomat asing, dan dalam kalangan komuniti perniagaan menghadiri sambutan hari itu di sebuah hotel di sini.

Dalam ucapannya, Nasr berkata bahawa revolusi pada tahun 1952 adalah satu mercu tanda penting dalam sejarah Timur Tengah dan Afrika.

“Sahabat Mesir yang dihormati, terima kasih banyak kerana menghormati kami dengan kehadiran anda malam ini dalam acara penting ini," katanya.

Revolusi 23 Julai yang dipimpin oleh Gamal Abdel Nasser membawa kepada berakhirnya pemerintahan monarki dan permulaan Republik Arab Mesir moden.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan