AM

KENANGAN URUS JENAZAH MANGSA NAHAS MH17 MASIH SEGAR DIINGATAN - HAZARUDIN

17/07/2024 04:43 PM

Oleh Mohd Fakri Awang Lah

MELAKA, 17 Julai (Bernama) -- Kenangan berada di Belanda selama 45 hari untuk menguruskan jenazah mangsa MH17 masih segar dalam ingatan Timbalan Mufti Melaka Hazarudin Baharudin.

Beliau yang mengetuai pasukan kedua pengurusan jenazah ke Belanda bersama tiga ahli kumpulan lain berlepas ke negara Eropah berkenaan pada awal September selepas pasukan pertama pulang.

Hazarudin yang ketika itu bertugas sebagai Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya berkata ia antara cabaran terbesar digalasnya sepanjang melaksanakan tugas di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Pasukan saya merangkumi dua lelaki termasuk saya dan dua perempuan menginap di sebuah hotel di The Hague sepanjang bertugas di sana dan menguruskan 13 jenazah mangsa beragama Islam yang terbunuh dalam nahas itu.

"Selain pasukan saya, kami juga dibantu dua anggota Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT), petugas forensik dan petugas di Kedutaan Malaysia di Belanda," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pasukannya memandi dan mengkafankan jenazah mangsa sejurus mendapat kelulusan pakar forensik yang dihantar kerajaan bagi mengenal pasti setiap mangsa terlibat.

"Di Belanda, pengurusan Malaysia Airlines (MAS) menyewa sebuah tempat iaitu Monuta Innemee bagi memudahkan pengurusan mayat sama ada Muslim dan bukan Muslim.

"Sebelum berlepas, pasukan saya dibekalkan dengan kain kafan dan kelengkapan lain secukupnya bagi memudahkan urusan menguruskan jenazah mangsa beragama Islam," katanya.

Hazarudin berkata sepanjang di Belanda, pasukannya menguruskan jenazah bermula Isnin hingga Khamis setiap minggu selepas mendapat pengesahan pihak berkaitan.

Antara paling diingati menguruskan beberapa jenazah orang Islam yang masih sempurna (dari segi fizikal) walaupun selepas pesawat itu terhempas dari ketinggian 30,000 kaki selepas ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak di Ukraine.

"Itu tanda kebesaran Allah SWT yang masih memelihara jenazah berkenaan sebagai peringatan kepada kita," katanya.

Pesawat Boeing 777 MH17 berlepas dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol, Belanda pada 12.31 tengah hari waktu tempatan (7.31 malam waktu Malaysia) sebelum Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine memaklumkan MAS bahawa mereka telah terputus hubungan dengan pesawat itu beberapa jam kemudian.

Pesawat itu meletup akibat terkena tembakan peluru berpandu dan terhempas menyebabkan semua 283 penumpang dari 17 negara terdiri 198 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia, 38 dari Australia dan 10 lagi berasal dari United Kingdom (UK)  serta 15 anak kapal MAS terkorban.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan