AM

HENTI DULU AKTIVITI REKREASI DI GUNUNG BATU GRANIT KAMPAR - EXCO

17/07/2024 04:50 PM

IPOH, 17 Julai (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan agar tidak menjalankan aktiviti rekreasi dan pelancongan di kawasan batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, di Kampar buat sementara waktu hingga tahap keselamatan di kawasan itu terjamin. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata nasihat tersebut sebagai langkah berjaga-jaga berhubung tahap keselamatan struktur jambatan di kawasan berkenaan. 

“Kawasan terbabit merupakan milik persendirian dan bukan di bawah seliaan jabatan atau agensi kerajaan yang berkaitan, jadi kita telah berjumpa dengan pemilik tanah dan mereka ambil maklum risiko keselamatan kepada pengunjung yang menjadi kekhuatiran kerajaan negeri.

"Jika berlaku apa-apa, ia adalah tanggungjawab individu itu sendiri termasuk pemilik tanah kerana lokasi batu granit tersebut berada di atas tanah persendirian," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Loh berkata pihaknya ada mengesan satu iklan di media sosial yang menawarkan pakej aktiviti seperti mendaki dan berkayak di kawasan tersebut. 

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai menghentikan sementara aktiviti rekreasi dan pendakian di kawasan ini agar pihak pemilik dapat jalankan kerja naik taraf. 

"Selain itu, keseluruhan kawasan ini juga dikelilingi oleh tanah rizab yang memerlukan kebenaran laluan oleh pemilik tanah yang lain," katanya. 

Loh menambah pihak Tourism Perak telah mengadakan lawatan ke kawasan terbabit yang turut disertai wakil daripada Majlis Daerah Kampar, Jabatan Mineral dan Geosains Perak, Pejabat Tanah dan Galian Perak serta Pensyarah Kanan Geomekanik dan Geologi Kejuruteraan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr. Goh Thian Lai baru-baru ini. 

"Dalam perjumpaan itu pemilik tanah bersetuju dengan saranan kerajaan negeri supaya struktur jambatan diperbaiki dan dinaik taraf sebelum dibuka kepada orang ramai.

"Pihak persendirian kawasan itu juga akan maklumkan kita semula selepas ia dinaik taraf untuk kita tengok adakah ia menepati ciri keselamatan yang ditetapkan," katanya.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan