AM

MTE 2024: ANUGERAH DAN EKSPO SDG DIADAKAN SECARA MAYA OKTOBER INI

17/07/2024 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2024: Anugerah & Ekspo Inovasi Antarabangsa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG IIAE) akan diadakan secara maya pada 16 hingga 18 Okt ini.

Dianjurkan oleh PROTEMT Exhibitions and Conferences Sdn Bhd, acara berprestij ini berada di barisan hadapan usaha global untuk memupuk penyelesaian inovatif yang memberi kelebihan kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Dikhususkan untuk mengiktiraf dan mempromosikan inovasi luar biasa yang menyumbang kepada pembangunan mampan dalam pelbagai sektor termasuk tenaga bersih, air dan sanitasi, pertanian lestari dan tindakan iklim, ekspo ini bertujuan menjadi pemangkin perkongsian yang mendorong kemajuan ke arah mencapai SDG," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Pada edisi 2023, anugerah itu menerima 165 penyertaan inovasi yang bersaing dalam lima kategori utama, merangkumi kesemua 17 SDG. Acara itu juga telah menghimpunkan 3,316 pelawat perdagangan dari 12 negara sepanjang ekspo tiga hari.

Kenyataan itu memaklumkan anugerah berkenaan mewakili gabungan visi, kreativiti dan tindakan yang unik, menawarkan peserta peluang untuk melibatkan diri dalam teknologi mampan terkini serta bertukar-tukar idea dan membentuk pakatan yang boleh membawa kepada impak dunia nyata.

"Dalam era apabila kerjasama menjadi kunci untuk mengatasi cabaran global, ekspo ini memupuk persekitaran yang menggalakkan peserta untuk berfikir di luar batasan dan bekerjasama ke arah masa depan yang mampan," menurut kenyataan itu.

MTE 2024 menyediakan pentas unik bagi inovator yang komited terhadap kemampanan. Dengan menyertai ekspo ini, peserta akan berinteraksi dengan komuniti profesional termasuk penyelidik, pelabur, pembuat dasar dan rakan inovator yang lain.

Interaksi ini membolehkan pertukaran idea, mendapat pandangan dan membina hubungan yang boleh memacu kerjasama masa depan dan membuka ruang kepada peluang yang menarik.

Secara asasnya, MTE 2024 SDG IIAE merupakan program pengiktirafan berprestij yang direka untuk meraikan penyelesaian perintis dan sumbangan individu, pasukan dan organisasi ke arah mencapai SDG PBB.

"Anugerah ini ialah bukti kepada kepintaran dan semangat yang memacu agenda kemampanan global," menurut kenyataan itu.

Kategori anugerah yang komprehensif ini juga mencerminkan sifat pembangunan mampan yang pelbagai. Lima kategori utama ialah Kesejahteraan, Keterangkuman, Modal Insan, Alam Sekitar dan Sumber Asli, dan Pertumbuhan Ekonomi.

Peserta yang berminat boleh mengemukakan inovasi mereka sebelum 13 Sept ini dan penyerahan awal digalakkan bagi memastikan masa yang mencukupi untuk semakan dan pertimbangan.

Maklumat lanjut sila layari https://sdg.mte.org.my.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan