JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN KELANTAN RAMPAS 744 KG GULA PASIR KASAR

17/07/2024 09:29 PM

KOTA BHARU, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan merampas sebanyak 744 kilogram (kg) gula pasir kasar di dalam dua buah kereta ketika cuba diseludup ke Thailand, semalam.

Pengarahnya Azman Ismail berkata kejayaan itu adalah hasil serbuan anggota penguat kuasa KPDN bersama Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di Pangkalan Haram Aziz di Kampung Simpangan, Tumpat pada 8.30 malam.

Beliau berkata ketika operasi dijalankan, pihaknya mengesan dua kereta Proton Wira Aeroback bernombor pendaftaran tempatan di parkir di lokasi terbabit.

“Pemeriksaan ke atas kedua-dua kereta itu mendapati masing-masing dimuatkan sebanyak 432 kg dan 312 kg gula pasir kasar yang dianggarkan bernilai RM2,120.

“Hasil siasatan awal mendapati barang kawalan itu dipercayai akan diseludup ke negara jiran menerusi Sungai Golok di pangkalan haram berdekatan ekoran permintaan tinggi dari negara jiran mutakhir ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam kes berasingan, Azman berkata seorang lelaki berusia 20-an ditahan dengan sebuah Proton Iswara yang diisi 100 liter petrol dalam tangki ubah suai, disyaki untuk diseludup.

“Suspek ditahan di sebuah stesen minyak di Kampung Kepulau dekat Palekbang, Tumpat pukul 11 pagi semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan