AM

KOMEN JELIK DI TIKTOK DAN FACEBOOK: MCMC SIASAT, RAKAM PERCAKAPAN EMPAT INDIVIDU

17/07/2024 09:02 PM

PUTRAJAYA, 17 Julai (Bernama) -- Empat lagi individu disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) berhubung komen jelik serta provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen yang dimuat naik di platform TikTok dan Facebook pada 9 Julai lepas.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan sesi rakaman percakapan individu terbabit dilakukan di empat lokasi berasingan iaitu Rawang, Sungai Petani, Butterworth dan Kangar setelah aduan diterima daripada orang awam.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang telah disiasat seramai enam orang. Tindakan ini adalah untuk membendung gejala buli siber yang berleluasa dalam kalangan masyarakat.

"Dalam operasi yang dijalankan, kad sim dan telefon pintar milik keempat-empat suspek yang digunakan untuk memuat naik komen jelik itu telah disita bagi membantu siasatan," menurut kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntuk hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

MCMC mengingatkan orang ramai agar tidak menggunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran serta komen yang bertentangan dengan undang-undang negara.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian yang mengganggu-gugat keharmonian sosial," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan