AM

28 PELAJAR KERACUNAN MAKANAN SELEPAS MAKAN AYAM TANDOORI

17/07/2024 09:16 PM

GEORGE TOWN, 17 Julai (Bernama) -- Sebanyak 28 pelajar Sekolah Menengah Teknik (SMK) Tunku Abdul Rahman Putra di Jalan Ibbetson di sini menerima rawatan kerana disyaki keracunan makanan dalam kejadian pada Jumaat lepas.

Kesemua mereka dikatakan mengalami gejala keracunan selepas makan ayam tandoori goreng yang dihidangkan sebagai menu tengah hari di kantin asrama sekolah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata kesemua pelajar tersebut dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan sudah dibenarkan pulang semalam selepas keadaan mereka stabil.

“Sebanyak 496 pelajar dan dua warden yang makan hidangan tersebut telah terdedah dengan keracunan tetapi hanya 28 pelajar mengalami gejala. Kesemua mereka sudah dibenarkan pulang semalam dan tidak perlu lagi dirujuk untuk rawatan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan 496 pelajar dan dua warden di SMK Teknik Tunku Abdul Rahman Putra jatuh sakit selepas makan tengah hari di kantin tersebut pada Jumaat lepas dengan 30 mengalami gejala keracunan menerima rawatan di HPP dan Klinik Kesihatan Penaga

Mengulas mengenai jumlah itu, Daniel berkata terdapat sedikit kesilapan fakta kerana yang terlibat hanyalah 28 orang dan tiada pelajar yang dirujuk di klinik kesihatan tetapi hanya HPP kerana kejadian berlaku dalam Daerah Timur Laut manakala klinik terbabit terletak di Daerah Seberang Perai Utara. 

Beliau turut memberitahu pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kes itu termasuk kumpulan pelajar yang terlibat.

Daniel juga menasihatkan semua pengendali makanan di negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan mengambil berat aspek kebersihan ketika mengendalikan makanan yang dihidangkan.

Terdahulu Jabatan Kesihatan Pulau Pinang memaklumkan siasatan masih diteruskan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurut jabatan itu dapur kantin asrama tersebut telah ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan sampel makanan, sampel pengendali serta sampel persekitaran juga telah diambil untuk tujuan analisis di makmal. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan