EKONOMI

MALAYSIA HARAP PELUANG KERJASAMA EKONOMI DIPERTINGKAT MELALUI BRICS - MITI

17/07/2024 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Malaysia berharap dapat meningkatkan peluang kerjasama ekonomi melalui platform BRICS sebagai alternatif mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil, Rusia, India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.

Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan UAE menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI), pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah semakin giat memperkenalkan pelbagai dasar dan peraturan unilateral perdagangan baharu yang memberi cabaran kepada negara-negara membangun seperti Malaysia untuk mematuhinya.

Kerajaan sedar kebergantungan perdagangan kepada pasaran tradisional akan memberi risiko kepada pembangunan ekonomi untuk jangka masa panjang.

Justeru, bagi merealisasikan aspirasi pembangunan ekonomi mampan, Malaysia bukan sahaja perlu mengeratkan kerjasama ekonomi dengan negara-negara dagang sedia ada tetapi perlu menembusi pasaran baharu berimpak tinggi selain menjalin kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan dagang bukan tradisional.

“Bagaimanapun, kerajaan akan sentiasa memastikan dasar neutral dan ‘tidak bersekutu’ dengan mana-mana kuasa ekonomi tidak terjejas serta hubungan perdagangan dan pelaburan baik dengan rakan-rakan dagang tradisional seperti AS, Kesatuan Eropah dan United Kingdom dapat diteruskan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Rabu.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pendirian Malaysia terhadap BRICS bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.

Pada 13 Jun 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi wawancara dengan media China Guancha mengumumkan pendirian Malaysia untuk menyertai BRICS.

Dengan bilangan penduduk BRICS yang secara kumulatifnya mencecah 3.54 bilion dan simpanan bekalan bahan mentah yang besar serta kekuatan ekonomi berjumlah US$26.6 trilion iaitu 26.2 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, blok ekonomi BRICS sebenarnya pasaran mega baharu yang wajar ditembusi untuk pembangunan dan peningkatan ekonomi negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan