SUKAN

HAJIJI MENGADAP PEMANGKU SULTAN JOHOR TUNKU MAHKOTA ISMAIL

17/07/2024 10:47 PM

KOTA KINABALU, 17 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengadap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Hajiji dalam perkongsian di laman Facebook beliau berkata beberapa perkara penting telah dibincangkan dalam sesi mengadap itu termasuk peluang ekonomi antara Sabah dan Johor.

Beliau berkata selain itu, agenda pembangunan bola sepak Sabah melalui kerjasama dengan kelab bola sepak dimiliki baginda iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) turut dibincangkan. 

"Kerjasama erat Persatuan Bola Sepak Sabah dengan JDT juga akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pembangunan bola sepak di peringkat belia dan mencungkil bakat di kawasan terpencil," katanya.

Hajiji turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tunku Mahkota Ismail kerana turut memberi sumbangan peribadi kepada SAFA. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan