AM

SEKURANG-KURANGNYA 24 RUMAH DI PERLIS ROSAK AKIBAT RIBUT

17/07/2024 11:37 PM

KANGAR, 17 Julai (Bernama) -- Sekurang-kurangnya 24 rumah rosak akibat kejadian ribut di negeri ini pagi tadi, menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi dan pihak MAIPs dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis sedang melakukan beberapa proses lawatan bagi mengenal pasti keperluan bantuan bagi disalurkan kepada mangsa.

"Sebanyak 14 kariah terjejas antaranya Kariah Sungai Bugis, Kariah Masjid Al Hussin, Kariah Repoh, Kariah Padang Keria, Kariah Pauh Sanglang, Kariah Pak Lengah, Kariah Bohor Temak, Kariah Chemumar, Kariah Teluk Jambu, Kariah Seberang Tok Pi dan Kariah Sungai Batu Pahat.

"Mengikut rekod MAIPs, setakat 3.21 petang tadi sebanyak 24 rumah telah terjejas," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata orang ramai perlu segera membuat laporan polis serta memaklumkan maklumat berkaitan dengan terperinci kepada pemimpin masyarakat dan pihak JKM bagi memudahkan saluran bantuan keperluan.

"Pihak JKM akan mengemukakan kepada agensi terlibat antaranya MAIPs sendiri bagi kes-kes yang melibatkan kerosakan besar," katanya.

Menurut Mohd Nazim MAIPs merakamkan ucapan takziah kepada mangsa terlibat dan berdoa agar ujian berkenaan dapat dihadapi dengan baik dan tenang.

-- BERNAMA  

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan