AM

PENJAWAT AWAM PERLU HAYATI PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB, ELAK SALAH LAKU - KPPA

18/07/2024 05:34 PM

SEREMBAN, 18 Julai (Bernama) -- Semua penjawat awam perlu menghayati peranan dan tanggungjawab masing-masing sekali gus mengelakkan salah laku yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata mereka juga perlu memperkukuh tatakelola dalam menjalankan tugas supaya lebih berkesan terutama bagi menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kes salah laku bukan hanya penjawat awam sahaja, swasta pun ada dan kalau kita melihat kerja sebagai tempat cari nafkah halal dan sebagainya, saya percaya tak akan berlaku (salah laku) oleh itu, tatakelola itu penting.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun sentiasa ingatkan tadbir urus mesti baik bermula dengan setiap lapisan penjawat awam, bukan peringkat tertinggi atau menengah tetapi (peringkat) bawah juga mesti jadikan budaya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Kaunter MyPesara Negeri Sembilan hari ini.

Beliau berkata pemantauan ketua jabatan juga amat penting bagi memastikan anak buah tidak melanggar peraturan selain tidak melindungi petugas yang melakukan salah laku.

Wan Ahmad Dahlan turut menasihati penjawat awam supaya tidak mudah rasa selesa dengan kedudukan selain sentiasa mencari kaedah untuk meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

“Kita perlu tinggalkan cara lama yang menyusahkan rakyat tapi pegang prinsip mudahkan dan sesuaikan dengan keperluan mereka, sebagai contoh permohonan geran dan sebagainya, kalau dulu mungkin kena tunggu seminggu tapi sekarang sehari boleh dapat,” katanya.

Beliau berkata ketua jabatan atau penyelia juga perlu sentiasa membuat tinjauan di kaunter perkhidmatan pelanggan bagi memastikan tidak timbul sebarang isu selain memastikan Piagam Pelanggan disemak mengikut peredaran masa.

Wan Ahmad Dahlan juga berkata perkara berkaitan skim pencen penjawat awam masih dalam peringkat kajian Jabatan Perkhidmatan Awam dan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

Ditanya mengenai kenaikan gaji penjawat awam, beliau berkata ia akan diumum oleh Perdana Menteri  bulan depan dan diyakini menjadi berita baik kepada mereka termasuk yang telah bersara.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan