AM

JENAZAH NUR FARAH KARTINI SELAMAT DIKEBUMIKAN DI PEKAN

19/07/2024 12:49 AM

PEKAN, 18 Julai (Bernama) -- Jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah selamat dikebumikan pada 5.20 petang di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, di sini hari ini.

Van yang membawa jenazah bekas penuntut  Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu tiba di tanah perkuburan berkenaan pada 4.55 petang selepas dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh, Selangor.

Pengebumian Nur Farah Kartini, 25, dalam keadaan cuaca tenang dan berangin itu turut dihadiri ahli keluarga mangsa, rakan dan penduduk kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib yang mewakili kerajaan negeri turut hadir di tanah perkuburan itu.

Mayat Nur Farah Kartini, 25, dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang, Isnin.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga seorang anggota polis bertugas di Perak telah ditahan dan direman sehingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan berkaitan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mohamad Nizar turut menyampaikan sumbangan daripada pihak kerajaan negeri kepada keluarga Nur Farah Kartini.

Sementara itu, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28, abang kepada Allahyarhamah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam urusan pengebumian adiknya.

“Alhamdulillah kami bersyukur dah sampai sini, pengebumian pun dah selesai, saya minta doakan adik saya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya sebak.

Menurutnya jenazah dikebumikan di lokasi berkenaan yang merupakan kampung isterinya bagi memudahkan urusan pengebumian.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan