AM

SULTAN PAHANG, TENGKU AMPUAN UCAP TAKZIAH KEPADA KELUARGA NUR FARAH KARTINI

18/07/2024 10:02 PM

KUANTAN, 18 Julai (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

Menurut hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang, baginda berdua turut mendoakan agar roh Nur Farah Kartini yang juga alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. 

"Semoga seluruh ahli keluarga tabah dan bersabar dengan ujian ini. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu. 

Jenazah Nur Farah Kartini selamat dikebumikan pada 5.20 petang tadi di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Pekan dekat sini. 

Nur Farah Kartini, 25, dilaporkan hilang pada 10 Julai lepas sebelum mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang pada 15 Julai.

Susulan itu, seorang lelaki berusia 26 tahun yang juga anggota polis bertugas di Perak ditahan dan direman hingga 22 Julai ini untuk membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan