AM

UKM, MIRXES JALIN KERJASAMA BANGUNKAN UJIAN PENGESANAN AWAL KANSER KOLOREKTAL

18/07/2024 08:03 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Institut Biologi Molekul Perubatan (UMBI) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat berpangkalan di Singapura Mirxes Pte Ltd untuk membangunkan ujian pengesanan awal berasaskan darah untuk kanser kolorektal di Malaysia.

UKM dan Mirxes dalam kenyataan bersama hari ini berkata ujian saringan semasa iaitu Immunochemical Faecal Occult Blood Test (iFOBT) mempunyai kepekaan yang rendah pada peringkat awal kanser kolorektal,  sekali gus memerlukan saringan yang lebih tepat, mudah digunakan dan senang diakses.

Kenyataan itu menyebut kerjasama berkenaan melibatkan kepakaran UMBI dalam penyelidikan kanser dan biologi molekul serta teknologi proprietari dan pengalaman Mirxes dalam pembangunan dan pengkomersialan penyelesaian pengesanan awal kanser.

"Ia juga akan memanfaatkan biospesimen UMBI dan The Malaysian Cohort Biobank, biobank terbesar di Asia Tenggara untuk mengenal pasti biopenanda bagi ujian pengesanan awal kanser kolorektal yang tepat dan sensitif.

"MoU ini juga melibatkan pertukaran petugas dan program latihan untuk pemindahan pengetahuan antara UKM dan Mirxes serta penubuhan makmal bersama bagi penyelidikan translasi dan ujian klinikal," menurut kenyataan itu.

Kerjasama itu juga melangkaui tumpuan semasa terhadap kanser kolorektal dan membuka jalan kepada potensi pembangunan serta pengkomersialan pelbagai ujian pengesanan awal kanser buatan Malaysia yang berasaskan darah seperti untuk kanser perut dan paru-paru.

"Ini berpotensi menjana pendapatan yang besar dianggarkan mencecah RM400 juta dalam tempoh lima tahun akan datang," menurut kenyataan itu.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata beliau optimis projek penyelidikan itu akan menyumbang kepada kemajuan dan penemuan ilmu baharu bidang biologi kanser dalam masa terdekat.

"Inovasi seperti ini penting untuk meningkatkan diagnosis dan rawatan kanser yang akhirnya membawa kepada hasil lebih baik kepada pesakit,” katanya.

Beliau berkata menjadi hasrat UKM sebagai universiti awam untuk memastikan projek itu dilaksanakan mengikut piawaian akademik tertinggi dan memberikan manfaat secara langsung kepada negara dan masyarakat umum.

Felo Penyelidik Utama UMBI dan Ketua Projek Prof Datuk Dr A Rahman A Jamal dalam kenyataan sama berkata gabungan kepakaran penyelidikan itu bakal mencapai kemajuan besar dalam memerangi kanser kolorektal dengan pembangunan kaedah saringan lebih berkesan dan mesra pesakit sekali gus berpotensi menyelamatkan banyak nyawa.

“Kerjasama ini bukan sahaja menyokong misi kami untuk meningkatkan kesihatan awam tetapi juga mengukuhkan usaha memerangi kanser kolorektal,” katanya.

Sementara itu Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Mirxes Dr Zhou Lihan berkata kerjasama itu membolehkan syarikat berkenaan mendapatkan pandangan tentang keperluan kritikal yang tidak dipenuhi dalam pemeriksaan kanser di Malaysia dan akses kepada kohort pesakit untuk pembangunan dan pengesahan ujian.

"Malaysia ialah pasaran utama untuk Mirxes dan kami komited untuk bersama membangunkan dan menjadikan portfolio ujian pengesanan awal kanser berasaskan darah dapat diakses bermula dengan kanser kolorektal,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan