EKONOMI

15 MOU BERNILAI KIRA-KIRA RM1.55 BILION DIMETERAI DI NBIOSHOWCASE 2024

18/07/2024 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) — Pameran dan Persidangan Bioekonomi Kebangsaan 2024 (NBiOSHOWCASE 2024) berakhir hari ini dengan melakar pencapaian bermakna menerusi pemeteraian 15 memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM1.55 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Bioeconomy Development Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata pihaknya pada awal hanya menyasarkan 11 MoU, namun angka itu meningkat kepada 15 pada pagi ini. 

Bercakap pada sesi perkongsian penutup NBiOSHOWCASE 2024 di sini, beliau berkata MoU itu  melibatkan empat syarikat asing dari Singapura, Kazakhstan, Jepun dan Indonesia.

“Enam MoU lain pula disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut merasmikan acara itu manakala lima MoU disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang. 

“Sepanjang acara dua hari ini, kita lihat banyak kerjasama pelbagai syarikat melibatkan penjualan produk, pembangunan dan penyelidikan bersama pihak universiti, pasaran selain dana untuk syarikat,” katanya.

Pemeteraian MoU itu melibatkan syarikat seperti ALPS GLobal Holding Bhd dan PT Biotis Pharmaceuticals Indonesia; Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Mirxes Pte Ltd; Bioeconomy Corporation dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia; Bioeconomy Corporation dan Majlis Amanah Rakyat (MARA); Bioeconomy Coporation dan Invest Selangor; Bioeconomy Corporation dan ALPS Global Holding Bhd; IBG Manufacturing Sdn Bhd dan Xiamen Univerisity Malaysia; ATL Cosmetics Sdn Bhd dan UM Pharmauji Sdn Bhd serta Bioloop Sdn Bhd dan 99 Speed Mart Sdn Bhd.

Firma lain adalah Bioeconomy Corporation dan Medkad Sdn Bhd; Bioeconomy Corporation dan Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF); YHL Foods Sdn Bhd dan Wermtech Asia Pte Ltd; Bio Tree Pharmaceutical (Int’l) Sdn Bhd dan Nomatech Sdn Bhd; Dunita Sdn Bhd dan KZ International Pte Ltd serta ALPS Global Holding dan Saraya Co Ltd dari Jepun.

Mengulas selanjutnya, Mohd Khairul Fidzal berkata NBiOSHOWCASE 2024 juga menyaksikan ALPS Global Holding Bhd, syarikat bioteknologi bersepadu yang dimudah cara oleh Bioeconomy Corporation, menjadi syarikat bioteknologi pertama Malaysia mencapai status unicorn.

Pencapaian itu sekali gus memenuhi antara matlamat utama Dasar Bioteknologi Negara 2.0 yang menyasarkan penciptaan tiga syarikat bioinovasi dengan status unicorn menjelang 2030.

ALPS Global membangunkan perubatan jitu melalui teknologi genomik DNA, Messenger Asid Ribonukleik atau mRNA dan terapi selular, dijangka disenaraikan di Nasdaq pada suku keempat 2024 dengan nilai perusahaan kira-kira US$1.6 bilion (US$1=RM4.67). 

NBiOSHOWCASE 2024 dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) manakala Bioeconomy Corporation merupakan penganjur utama.

Bertemakan ‘Bioekonomi untuk Semua,’ acara itu melibatkan hampir 140 reruai dengan lebih 110 pempamer selain dihadiri 4,000 pengunjung.

MOSTI menyasarkan acara itu menjana nilai jualan hampir RM400 juta menerusi pelancaran lima produk bioteknologi oleh syarikat berstatus BioNexus dan Pemecut Berasaskan Bio (BBA) dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

Mohd Khairul berkata selain melibatkan peringkat sekolah rendah dan universiti, NBiOSHOWCASE 2024 turut menyediakan khidmat temuduga terbuka bagi 100 jawatan manakala 500 jawatan lain menerusi portal merangkumi kerjaya seperti ahli ekonomi, penyelidik dan eksekutif pemasaran.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan