EKONOMI

KERAJAAN TERUSKAN INISIATIF PEMBAHARUAN FISKAL, RANGKA STRATEGI HASIL JANGKA SEDERHANA

18/07/2024 10:37 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan meneruskan inisiatif pembaharuan fiskal termasuk merangka Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS), kata Kementerian Kewangan (MOF).

Kementerian itu berkata MTRS bertujuan meningkatkan mobilisasi hasil dan meluaskan asas cukai melalui pelaksanaan cukai baharu seperti cukai karbon serta cukai digital dan menambah baik pentadbiran perundangan cukai serta menyemak semula insentif percukaian sedia ada.

Katanya, kerajaan juga mengumumkan pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT) ke atas pendapatan global melebihi 750 juta bermula 2025 yang mana kadar cukai 15 peratus yang dipersetujui di dalam GMT adalah lebih mampan berbanding kadar cukai efektif sedia ada.

“Kerajaan dijangka mendapat hasil tambahan daripada pelaksanaan GMT ini,” kata MOF dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Khamis.

Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai perancangan kerajaan untuk meningkatkan hasil tahunan negara.

Mengulas lanjut, MOF berkata kerajaan melaksanakan semula cukai jualan dan cukai perkhidmatan pada 2018 bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada 2018.

“Oleh yang demikian, sekiranya kerajaan berhasrat untuk melaksanakan semula GST pada masa akan datang, kerajaan akan memastikan cukai kepenggunaan dapat ditambah baik supaya bersifat progresif,” katanya. 

Pada masa sama, kementerian itu berkata kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan fiskal dengan meluaskan asas hasil, mengoptimumkan pengurusan perbelanjaan, mengurangkan pendedahan risiko dan menambah baik tadbir urus fiskal.

Beberapa inisiatif yang akan dan diperkenalkan, antaranya program rasionalisasi subsidi serta komitmen untuk menambah baik cukai penggunaan dan melaksanakan MTRS.

“Manakala dari segi pembaharuan institusi, penggubalan Akta Perolehan Kerajaan yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada tahun ini akan meningkatkan lagi tata kelola perolehan awam ke arah mencapai nilai faedah terbaik dan kecekapan perbelanjaan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan