EKONOMI

BNM, SC AKAN TUBUH IDRS, TINGKAT KEBERKESANAN SKIM PENYELESAIAN PERTIKAIAN

18/07/2024 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan mewujudkan Skim Penyelesaian Pertikaian Bersepadu (IDRS) yang akan dikenali sebagai Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (FMOS) bagi sektor kewangan dan pasaran modal, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

MOF menjelaskan IDRS bertujuan meningkatkan tahap keberkesanan skim penyelesaian pertikaian pengguna kewangan dan pelabur secara keseluruhan.

“IDRS akan ditubuhkan pada 2025 melalui penggabungan di antara Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (OFS) dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Industri Sekuriti (SIDREC) yang menawarkan perhidmatan penyelesaian pertikaian alternatif untuk sektor pasaran modal di bawah kawal selia SC.

“Penggabungan ini diharapkan dapat meningkatkan sinergi operasi skim penyelesaian pertikaian kewangan dan pelaburan di samping memastikan proses penyelesaian lebih mudah, lancar dan percuma kepada pengguna kewangan dan pelabur,” menurut MOF dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, pada Khamis.

Kementerian berkata demikian menjawab pertanyaan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) mengenai sama ada kerajaan berhasrat membubarkan OFS atas sebab ketidakberkesanan untuk melindungi hak pengguna institusi kewangan dan kegagalan untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap sistem kewangan Malaysia.

MOF memaklumkan dalam tempoh 19 tahun, OFS telah menyelesaikan hampir 32,000 pertikaian kewangan secara percuma kepada pengguna.

Pada 2023, OFS telah menerima 1,246 pertikaian daripada pengguna kewangan, dengan 62 peratus daripadanya adalah berhubung industri perbankan dan 33 peritus adalah berkenaan industri insurans dan takaful, tambah kementerian itu.

Menurut MOF OFS berjaya mendapatkan penyelesaian secara baik melibatkan pertikaian berjumlah RM6.8 juta (RM51.3 juta sejak 2018).

Kaji selidik yang dibuat OFS setiap tahun menunjukkan peratus pembuat aduan yang berpuas hati dengan perkhidmatan OFS adalah di antara 55 peratus dengan 74 peratus sejak 2018, jelasnya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan