BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 AM

SARJANA MANFAATKAN TANAH KOSONG KAWASAN SEKOLAH, USAHAKAN TANAMAN SAYUR-SAYURAN SECARA FERTIGASI

19/07/2024 11:31 AM

Oleh Razif Rosli

PASIR SALAK, 19 Julai (Bernama) -- Idea warga Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah (SARJANA) memanfaatkan tanah kosong di kawasan sekolah cukup berbaloi apabila tanaman sayur-sayuran secara fertigasi yang diusahakan membolehkan ia menjana pendapatan sampingan buat Kelab Alam Sekitar dan Kelab Pengguna sekolah terbabit.

Walaupun tanah kosong yang diusahakan tidak sebesar mana, namun projek ‘kecil’ di bawah kelolaan guru penyelaras Ahmad Tarmizi Zohiri dan Mohd Afzal Sapi In itu besar manfaatnya, sehingga mampu meraih pendapatan menjangkau RM700 setiap kali tuaian dengan pengeluaran hingga 100 kilogram (kg) dalam tempoh dua hingga tiga bulan. 

Pengetua SARJANA Ahmad Tazally Mohamad Zain berkata projek yang dimulakan pada 2022 itu merupakan hasil kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui anak syarikatnya Perbadanan Ekonomi Islam Perak Sdn Bhd.

"Aktiviti ini juga dapat mendedahkan pelajar cara-cara menanam sayur-sayuran, cara melindungi tanaman dan menangani perosak termasuk menguruskan jualan. Maknanya dari mula ditanam hinggalah produk itu dijual mereka dapat pendedahan. 

 "Projek SARJANA ini bukan hanya menumpukan kepada keuntungan sahaja, tetapi lebih kepada mahu melengkapkan pelajar dengan ilmu pertanian yang boleh dimanfaatkan selepas menamatkan persekolahan di sini," katanya ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Ahmad Tazzaly berkata projek itu dilaksanakan dengan konsultan yang dilantik untuk membina sistem tanaman fertigasi tanpa menggunakan tanah dan SARJANA hanya melaksanakan tanaman. 

"Pelajar yang terpilih daripada pelbagai bidang ini bukan sahaja dapat belajar secara teori berkenaan penanaman dan pengurusan sayur, malah mereka juga turun ke lapangan untuk bertani pada sebelah petang selepas tamat sesi persekolahan. 

"Pada permulaan dahulu kita pilih pelajar daripada tingkatan enam, kini pelajar tingkatan dua yang menguruskannya dan kita akan tukar setiap kali penanaman baharu agar semua warga SARJANA dapat menghayati sendiri berbudi pada tanah. 

Beliau berkata hasil tanaman dijual di pasaran secara borong, termasuk kepada masyarakat sekitar Kampung Gajah, dan beliau cukup bangga kerana projek itu membuktikan peranan SARJANA menjalankan aktiviti yang menyokong beberapa sasaran pembangunan mampan (SDG) iaitu Kelaparan Sifar yang disaran kerajaan.

“Walaupun kita buat dalam skala yang kecil namun perkembangannya amat positif malah pelajar yang menyertai projek ini memberi komitmen yang baik dan memberi maklum balas yang positif biarpun pada tidak mempunyai ilmu asas mengenai pertanian mahupun ilmu tumbuhan,” katanya.

Ahmad Tazally berkata pada permulaan projek dahulu selain tanaman secara fertigasi, pihaknya turut bercucuk tanam tanaman serai dan bendi secara konvensional.

"Kita dedahkan juga pelajar kepada tanaman secara konvensional supaya mereka tahu cara penanamannya.

"Selepas sayur mencapai tempoh sesuai, selain dijual kepada pemborong kita juga jual kepada ibu bapa pelajar yang datang melawat anak mereka setiap minggu, kita akan buka kaunter untuk mereka dapatkan sayur-sayuran segar," katanya. 

Ahmad Tazally berharap usaha yang dilakukan itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan setiap warga SARJANA khususnya pelajar mendapat manfaat yang berguna selain impak berkesan hasil projek berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan