AM

MALAYSIA-FILIPINA PERTINGKAT KERJASAMA DALAM BIDANG PERTANIAN - KPKM

19/07/2024 02:44 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Malaysia dan Filipina akan meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam bidang pertanian khususnya dari aspek perdagangan pertanian serta kerjasama teknikal dalam subsektor tanaman, ternakan dan perikanan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dibincangkan semasa menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat Duta Besar Filipina ke Malaysia Maria Angela Abrera Poncea di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini pada Rabu lepas (17 Julai).

Pertemuan itu merupakan kali pertama diadakan sejak Angela mula berkhidmat di Malaysia pada hujung November tahun lepas.

“Menerusi kunjungan hormat tersebut, PYT Angela memaklumkan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang terbesar bagi sektor pertanian Filipina di rantau ASEAN dan beliau telah diberi tanggungjawab oleh Kerajaan Filipina untuk mengukuhkan kerjasama pertanian terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan dengan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Data perdagangan bagi 2023 merekodkan, nilai eksport Malaysia ke Filipina adalah sebanyak RM5.41 bilion berbanding nilai import Filipina dari Malaysia sebanyak RM1.28 bilion yang menyumbang kepada imbangan perdagangan positif kepada negara.

Dalam pertemuan itu Mohamad turut menjemput Angela ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 Sept depan selain mempelawa negara itu untuk menyertai acara dwitahunan tersebut.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Azah Hanim Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Datuk Nor Sam Alwi, pegawai dan jabatan serta agensi di bawah KPKM.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan