AM

KPKM MUDAHKAN PROSEDUR HASILKAN BENIH PADI HIBRID

17/07/2024 06:07 PM

YAN, 17 Julai (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan memudahkan urusan dan prosedur bagi memastikan penghasilan varieti benih padi hibrid dapat dilaksanakan dengan segera untuk membantu meningkatkan hasil tanaman itu.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kementerian sentiasa mencari kaedah untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil padi dan beras selaras dengan Dasar Agromakanan Negara dan sasaran kadar sara diri beras 80 peratus menjelang 2030.

“Kita akan adakan satu perbincangan bersama sebuah syarikat, Koyan Utama Sdn Bhd (KUSB), agensi dan jabatan di bawah KPKM serta pihak penyelidik dari China hujung bulan ini bagi memperkenalkan benih padi hibrid baru untuk meningkatkan musim penanaman padi empat kali setahun.

“Bergantung kepada perbincangan itu, kita akan lihat langkah seterusnya...tetapi kita mahu jadikan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sebagai perintis bagi projek ini kerana Kedah merupakan negeri Jelapang Padi, jadi sesuailah kita memilih MADA untuk plot ujian projek itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan bantuan geran berjumlah lebih RM1.1 juta kepada 61 usahawan bimbingan MADA yang dipilih menerusi tiga skop iaitu Program Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP), Program Geran Agropreneur Muda (GAM) serta Program Mekanisasi dan Automasi Agromakanan.

Sebelum ini, Pengerusi KUSB Dr Ammar Hassan berkata syarikatnya bersama sebuah syarikat dari China akan memulakan projek perintis penanaman padi hibrid empat kali setahun di Perlis dan Kedah dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata berdasarkan kajian, pelaksanaan projek berkenaan dilihat mampu menghasilkan padi antara lapan hingga 10 tan sehektar seterusnya meningkatkan keluaran padi dalam negara selain dapat menambah pendapatan pesawah.

Sementara itu, ditanya mengenai penggunaan racun tidak berdaftar oleh segelintir petani dan pekebun, Arthur berkata pemantauan dan penguatkuasaan oleh Jabatan Pertanian sentiasa dilakukan kerana penggunaan racun terhadap bahan makanan melibatkan keselamatan pengguna.

“Kementerian juga memainkan peranan kerana ini melibatkan keterjaminan makanan, kita mahu pastikan semua barangan makanan itu selamat untuk pengguna...sekiranya ada pihak yang melanggar peraturan atau undang-undang berkaitan keselamatan pengguna, mereka boleh dikenakan tindakan.

“...untuk racun ini, ada prosedur untuk pendaftaran racun berkenaan yang mana ia perlu melalui kajian dalam makmal, kajian keselamatan dan sebagainya, hanya racun yang diiktiraf selamat sahaja yang akan diberikan sijil dan kelulusan untuk penggunaannya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan