BERITA TERGEMPAR   PRK Nenggiri: Jentera PH akan digerakkan bantu kempen calon BN- Fahmi | 
 DUNIA

SEORANG WARGA ISRAEL TERBUNUH DALAM SERANGAN DRON KE ATAS TEL AVIV

19/07/2024 03:41 PM

ANKARA, 19 Julai (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya seorang warga Israel terbunuh dan 10 lagi cedera dalam serangan dron oleh kumpulan Houthi pada awal pagi Jumaat, lapor Agensi Anadolu memetik laporan media Israel.

Perbadanan Penyiaran Awam Israel melaporkan bahawa dron sarat dengan bom itu meletup di persimpangan Jalan Shalom Aleichem dan Jalan Ben Yehuda di Tel Aviv, hanya beberapa ratus meter dari Kedutaan Amerika.

“Serangan itu tidak mengaktifkan siren dan kejadian sedang disiasat,” kata seorang jurucakap tentera Israel.

Channel 13 Israel yang memetik laporan siasatan awal tentera menunjukkan bahawa dron itu dikesan tetapi tidak dipintas kerana “kesilapan manusia,” tanpa memberikan butiran lanjut.

Sementara itu, kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman  mengesahkan serangan dron di Tel Aviv. Jurucakap tentera kumpulan itu, Yahya Saree berkata pasukan udaranya melaksanakan operasi berkenaan dan mengenai sasaran penting di kawasan Tel Aviv.

Kumpulan Houthi mengisytiharkan kawasan Tel Aviv sebagai “kawasan tidak selamat” dan memberi amaran ia akan menjadi sasaran utama senjata mereka.

Houthi telah menyasarkan kapal milik Israel, berbendera, dikendalikan atau menuju ke Israel di Laut Merah dan Teluk Aden dengan peluru berpandu dan dron sebagai solidariti dengan Gaza yang telah diserang tentera rejim sejak 7 Oktober tahun lalu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan