JENAYAH & MAHKAMAH

PEJABAT PARLIMEN KULAI, 4 SJKC DIPECAH MASUK 

19/07/2024 03:53 PM

KULAI, 19 Julai (Bernama) -- Pejabat Parlimen Kulai dan empat sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini dipecah masuk dalam kejadian yang dipercayai berlaku baru-baru ini.

Ahli Parlimennya yang juga Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kejadian itu berlaku kira-kira dua minggu lepas dan laporan polis sudah dibuat.

“Ya kejadian itu memang berlaku termasuk pejabat kami juga telah dipecah masuk...jumlah kerugian pula melibatkan ribuan ringgit dan antara yang hilang seperti peranti (tablet) dan telefon bimbit. Kami juga perlu menggantikan CCTV (kamera litar tertutup),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak menara telekomunikasi Kampung Murni Jaya 2 dan Kampung Tersusun Murni Jaya, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

“Saya serahkan kepada pihak polis dan saya percaya bahawa IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Kulai akan buat yang terbaik dan mengambil tindakan cepat untuk mengenal pasti siapa di belakang kejadian tersebut.

“Lagi cepat pihak polis boleh dapat menangkap mereka lagi bagus agar penduduk di daerah Kulai  rasa selamat,” kata Teo.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tan Seng Lee mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian pecah masuk pejabat Ahli Parlimen berkenaan yang berlaku pada 9 Julai dan kes disiasat mengikut Seksyen 451 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan