AM

KLIA TERMINAL 2 SESAK SUSULAN GANGGUAN TEKNIKAL

19/07/2024 08:16 PM

SEPANG, 19 Julai (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA Terminal 2) penuh sesak dengan penumpang, susulan gangguan perkhidmatan teknologi maklumat (IT) global yang menjejaskan operasi lapangan terbang di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai terpaksa mendaftar masuk menggunakan kaunter berikutan kios daftar masuk layan diri yang disediakan tidak boleh digunakan.

Difahamkan, kesesakan di KLIA Terminal 2 bermula sejak 1.30 tengah hari dan petugas dilihat membantu orang ramai mendaftar masuk di kaunter yang disediakan bagi mendapatkan pas masuk.

Pihak KLIA Terminal 2 turut mengumumkan setiap penumpang antarabangsa perlu melakukan pemeriksaan imigresen dan keselamatan seperti sediakala meskipun berlaku gangguan teknikal ketika ini.

Seorang penumpang Ikhwan Ibrahim, 45, berkata kesesakan akibat gangguan perkhidmatan IT itu telah menyebabkan dia terpaksa beratur lebih satu jam di hadapan kaunter.

“Barisan untuk dapatkan boarding pass (pas masuk) memang panjang kerana sistem terjejas,” katanya yang ingin ke Kota Bharu, Kelantan.

Pekerja swasta Ainor Azman, 25, berkata dia agak kecewa kerana masih tidak dapat mendaftar masuk untuk penerbangan ke Kuala Terengganu petang tadi.

“Ramai beratur untuk daftar masuk kerana sistem down. Pihak syarikat maklumkan untuk daftar masuk dahulu,” katanya yang berada di lapangan terbang itu sejak 3 petang.

Sementara itu, syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia memaklumkan tiada pembatalan penerbangan berlaku meskipun ia mengalami gangguan sistem dalaman.

Tinjauan di KLIA Terminal 1 pula mendapati perkhidmatan KLIA Transit dan Ekspres beroperasi seperti biasa dan penumpang diminta mendapatkan tiket di kaunter.

Sementara itu, KLIA Ekspres dalam kenyataan di platform media sosial memberitahu gangguan berkenaan disebabkan masalah teknikal dan pelanggan tidak dapat membeli tiket melalui aplikasi, laman web atau dompet digital pada masa ini.

"Sila terus ke kaunter untuk membeli tiket anda," menurut kenyataan itu.

Dilaporkan, berlaku gangguan perjalanan di seluruh dunia susulan gangguan IT yang dikaitkan dengan firma keselamatan siber global CrowdStrike.

CrowdStrike Holdings Inc ialah sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas. Ia menyediakan beban kerja penembusan dan keselamatan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan serangan siber.

Perkhidmatan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak terjejas oleh gangguan IT global yang mengakibatkan sebahagian besar perjalanan tergendala di Eropah, Amerika Syarikat dan lapangan terbang Australia. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan