EKONOMI

GENTING PLANTATIONS GROUP BELI TANAH DI JAKARTA PADA HARGA RM593 JUTA

19/07/2024 10:18 PM

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Genting Plantations Bhd menerusi anak syarikat milik penuh Indonesia tidak langsungnya akan membeli dua bidang tanah di Jakarta, Indonesia berkeluasan 152 hektar pada harga 2.052 trilion rupiah (RM593 juta).

Kumpulan perladangan dan pembangunan hartanah berkata unitnya PT Genting Properti Abadi dan PT Genting Properti Jaya hari ini menandatangani perjanjian bersyarat berasingan dengan PT Sentul City TBK, PT Aftanesia Raya dan PT Primatama Cahaya Sentosa untuk membeli tanah tersebut.

PT Genting Properti Abadi membeli 80 hektar dalam perbandaran Sentul City pada harga RM509.8 juta manakala PT Genting Properti Jaya pula membeli sebidang tanah seluas 72 hektar pada harga RM83.2 juta, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini .

“Cadangan pembelian itu memberi peluang kepada Genting Plantations melalui anak syarikat milik penuh secara tidak langsung di Indonesia untuk menjalankan aktiviti berkaitan pembangunan hartanah seiring dengan objektif pengembangannya di Indonesia.

"Menerusi langkah itu, Genting Plantations akan dapat mewujudkan kehadirannya dalam pasaran hartanah di Jakarta yang mungkin akan menawarkan peluang lain untuk inisiatif pengembangan Indonesia," katanya.

Genting Plantations berkata cadangan pembelian itu dijangka selesai pada suku pertama 2025.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan