POLITIK

PRK: PELUANG CERAH BN RAMPAS SEMULA NENGGIRI - MUHAMAD AKMAL

20/07/2024 04:51 PM

SHAH ALAM, 20 Julai (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang cerah untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bulan depan. 

Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ia berdasarkan kredibiliti calon yang diketengahkan iaitu anak muda tempatan, profesional dan telah lama berkhidmat di kawasan berkenaan. 

"Sebelum ini ia bertukar milik kepada Perikatan Nasional (PN) namun pada Pilihan Raya Negeri yang lepas, kita (BN) kalah dengan majoriti 810 undi sahaja. 

"... dan di Nenggiri ini kalau kalah satu pun kerajaan negeri masih ditadbir PAS tetapi rakyat Kelantan mahukan seseorang yang boleh memberikan semak imbang kerana sejarah di sana, pembangkang hanya ada dua. Jadi tambahkan sahaja satu kerusi pembangkang tanpa menggugat pemerintahan sedia ada," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Subang di sini hari ini.

Muhammad Akmal berkata sayap pemuda UMNO juga akan memaksimumkan usaha dalam memastikan kemenangan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang diumum sebagai calon mewakili BN bagi PRK berkenaan. 

Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.

Dalam perkembangan lain, pada mesyuarat berkenaan Ketua UMNO Bahagian Subang Datuk Armand Azha Abu Hanifah mencadangkan usul khas untuk mengangkat Ketua Pemuda UMNO diberikan mandat dalam pentadbiran di peringkat pusat.  

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan