AM

PM ANWAR UCAP TAKZIAH ATAS PEMERGIAN SITI ZAHARAH 

27/07/2024 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman yang meninggal dunia malam tadi. 

Anwar menerusi hantaran Facebook beliau hari ini berkata Siti Zaharah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO itu merupakan sahabat rapat beliau semasa bersama dalam parti berkenaan dan menyifatkan Allahyarham sebagai pemimpin yang cekap, komited dan gigih dalam perjuangan. 

"Saya turut berduka dan mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan selain diampunkan segala dosa Almarhumah serta diberi tempat terbaik di sisi-Nya," menurut hantaran itu.

Siti Zaharah, 75, disahkan meninggal dunia oleh anak sulungnya Timoer Dzakry Samarudin di Hospital Serdang pada 11.23 malam, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, Selangor pada 11.30 pagi tadi. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan