AM

'MALAYSIA MADANI: JIWA MERDEKA' BENTENG HADAPI CABARAN GLOBALISASI 

22/07/2024 10:25 AM

Oleh Muhammad Saufee Rosman

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) --  ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ yang diketengahkan sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) pada tahun ini dilihat berupaya menanam nilai-nilai MADANI dalam jiwa rakyat untuk menjadi benteng menghadapi cabaran globalisasi.  

Menyifatkan tema HKHM itu selari dengan dasar Kerajaan Perpaduan dan menarik untuk difahami serta dihayati seluruh rakyat, pakar Perlembagaan Malaysia Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata pemilihan tema itu juga menggambarkan keazaman kerajaan bagi memastikan aspirasi MADANI dapat diamalkan setiap pemimpin dan lapisan masyarakat.

Memperincikan maksud ‘Malaysia MADANI’, Shamrahayu berkata konsep itu mengutamakan prinsip hidup masyarakat berteraskan nilai-nilai murni, inklusif dan progresif yang berkait rapat dan sinonim dengan maksud jiwa merdeka.  

"MADANI juga menekankan prinsip keadilan sosial dan ekonomi dengan pengagihan kekayaan dan kemakmuran bersama, memastikan akses yang adil kepada pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi bagi semua lapisan masyarakat.

“Integriti dan tadbir urus baik adalah juga prinsip MADANI dengan hasrat memerdekakan Malaysia daripada rasuah dan menanam sikap integriti dalam kalangan masyarakat. Semua ini adalah nilai atau elemen kepada jiwa yang merdeka,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Shamrahayu berkata MADANI juga memfokuskan kepada pembangunan modal insan berkualiti menerusi pendidikan dan latihan berterusan dengan penghayatan nilai-nilai murni dan agama, seterusnya membentuk sahsiah diri yang mempunyai akhlak mulia sebagai elemen penting dalam jiwa merdeka.

Beliau berkata “Jiwa Merdeka” pula merujuk kepada keadaan setiap warga Malaysia sama ada pemimpin mahupun rakyat yang bebas dalam semua dimensi seperti kebebasan berfikir, bersuara dan bertindak termasuk dalam konteks agama serta ideologi tanpa sekatan atau tekanan pihak luar, mengikut lunas undang-undang.

“Ia adalah satu keadaan di mana seseorang itu bebas untuk menjadi diri sendiri dan mengejar matlamat diri seiring dengan matlamat hidup bernegara dengan keyakinan dan tanpa halangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tahap kesedaran dan penghayatan jiwa merdeka dalam kalangan masyarakat berbeza dan masih memerlukan usaha pengukuhan lebih serius serta berkesan, justeru nilai tradisi dan warisan negara seperti nilai mulia dan agama mesti sentiasa dipertahankan. 

"Perkara ini pastinya akan membuka ruang kepada pengaruh asing yang mencemarkan nilai diri sendiri atau jiwa merdeka masyarakat kita. Sekiranya kita tidak diikat dengan nilai warisan dan agama yang sempurna, kita akan menjadi seperti kapal tanpa nakhoda, terumbang-ambing dilanda badai sehingga kita akan menjadi warga negara tanpa pedoman.

"Sesungguhnya nilai murni dan penghayatan agama serta amalan warisan seperti adat dan adab adalah kompas kehidupan bernegara," katanya yang turut menyentuh hal berkaitan perpaduan di negara ini yang memerlukan usaha berterusan walaupun isu berkenaan tidak berada pada tahap terendah.

Beliau berkata antara perkara lain yang memerlukan pengukuhan adalah usaha bagi melonjakkan kesedaran dan penghayatan tentang bahaya rasuah yang memerlukan indeks integriti lebih tinggi dalam setiap lapisan masyarakat. 

"Dalam pada itu, terdapat pengabaian tentang kefahaman kepada pentingnya pendidikan formal...terdapat mereka yang tidak mementingkan pendidikan tetapi mengutamakan pulangan wang atau pengumpulan aset, sehingga ada segelintir meninggalkan alam persekolahan sebelum tamat tempohnya," katanya.

Justeru, bagi menzahirkan kesedaran dan penghargaan jiwa merdeka selari dengan tema "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka", Shamrahayu mencadangkan antaranya penganjuran program menyemarakkan semangat patriotisme dengan upacara menaikkan dan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis kerja atau kenderaan sebagai simbolik penghormatan dan semangat patriotik.

"Penganjuran program intelektual atau program seni tentang sejarah dan pengorbanan pejuang kemerdekaan, penganjuran kempen atau pameran kemerdekaan yang turut meliputi pencapaian negara selepas mencapai kemerdekaan perlu diadakan.

"Tragedi tertentu dalam sejarah juga perlu dibangkitkan demi menjadi iktibar atau teladan dan sempadan kini, seperti menayangkan program tersebut di media utama, tradisional atau media baharu supaya dapat menanamkan sejarah yang satu untuk negara," katanya.

Beliau juga berkata program mengenang jasa pejuang kemerdekaan seperti upacara atau istiadat tahlil dan ziarah Makam Pahlawan wajar diadakan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah berkorban untuk kebebasan negara ini.

"Melalui kaedah-kaedah ini, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dapat disambut dengan lebih bermakna dan menyematkan jiwa merdeka dalam diri setiap individu, memastikan semangat kebebasan dan cinta tanah air terus hidup dan berkembang sekali gus menjadikan ia sebagai satu hari yang menyediakan Malaysia ke arah masa depan lebih sejahtera," katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang mengumumkan tema itu pada 5 Jun lepas, berkata ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ merupakan perlambangan kesepaduan secara holistik negara maju dan progresif menaungi rakyat berbilang kaum, bersatu hati serta teguh jati diri.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan