AM

KEMUDAHAN AUTOGATE DI KLIA TERMINAL 1,2 SERTA PULAU PINANG DITAMBAH

22/07/2024 12:48 PM

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen (JIM) akan menambah bilangan sistem pagar automatik baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1 dan 2) dan Pulau Pinang bagi mengatasi kesesakan di pintu masuk negara. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 40 ‘autogate’ baharu di tambah di KLIA Terminal 1 dan 2 menjadikan jumlah keseluruhan iaitu 80 buah manakala penambahan di Pulau Pinang sedang dikenal pasti.

Beliau berkata langkah penambahan kemudahan itu juga adalah selaras peluasan kemudahan penggunaan autogate dan sebagai persediaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sekarang ketibaan pesawat antarabangsa dapat liputan media bila kesesakan berlaku. Jadi kami telah berunding dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) untuk penambahan autogate dan kami perlu lebih ruang.

“Ketua Setiausaha KDN Datuk Ruji Ubi akan uruskan perolehan… kami juga kejar masa kerana tahun depan kita akan ambil alih Pengerusi ASEAN, yang perlu kami uruskan tidak berlaku kesesakan di pintu masuk,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Hari Imigresen 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, Saifuddin Nasution mengumumkan pengunjung dari 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan autogate di semua pintu masuk negara yang memiliki kemudahan itu berkuat kuasa 1 Jun 2024.

Kemudahan itu antaranya membabitkan semua negara Kesatuan Eropah (EU), Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Kanada, Hong Kong serta Taiwan.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan sistem kaedah Kod Respons Pantas (QR) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor mendapat sambutan daripada pengguna. 

Bagi tempoh 1 Jun hingga 18 Julai lepas, sebanyak 197,901 penumpang bas di BSI dan 311,130 penumpang bas dan motosikal di KSAB telah menggunakan sistem QR itu.

“Inisiatif berkenaan berjaya mengurangkan tempoh menunggu antara 70 hingga 80 peratus berbanding sebelum ini.

“Jumlah ini dijangka terus meningkat dan seterusnya dapat membantu mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata penggunaan sistem itu akan diperluas kepada semua pengembara termasuk bukan warganegara dan pemegang pas jangka panjang serta mod perjalanan menggunakan kereta di fasa seterusnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan