EKONOMI

ENAM SYARIKAT PENERBANGAN BAHARU PACU ALIRAN PENUMPANG MAHB NAIK 40 PERATUS

22/07/2024 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Aliran pergerakan antarabangsa di rangkaian lapangan terbang tempatan kendalian Malaysia Airports Group meningkat 40 peratus tahun ke tahun dalam separuh pertama 2024, didorong oleh penyertaan enam syarikat penerbangan baharu.

Dalam kenyataannya, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata enam syarikat berkenaan adalah Cambodia Airways, Flydubai, Iraqi Airways, Juneyao Airlines, Thai Lion Air serta Turkmenistan Airlines.

Kesemua syarikat penerbangan asing itu menyumbang 45 juta aliran pergerakan penumpang dalam separuh pertama 2024, mencecah 87.9 peratus daripada paras prapandemik bagi tempoh sama pada 2019.

“Pemulihan bilangan kapasiti tempat duduk berjumlah 85 peratus pada separuh pertama 2024 atau 57 juta tempat duduk berbanding 67.3 juta pada tempoh sama 2019," katanya.

Menurut MAHB, purata faktor muatan bagi separuh pertama 2024 berjumlah 78.8 peratus, melepasi paras tempoh sama pada 2018 sebanyak 3.4 mata peratusan.

“Pertumbuhan berterusan sepanjang separuh pertama 2024 menunjukkan permintaan kukuh selain berpotensi mendorong peningkatan seterusnya dari segi tawaran kapasiti tempat duduk,” katanya.

MAHB juga menyifatkan prestasi keseluruhan lapangan terbang tempatan di bawah Malaysia Airports Group bagi separuh pertama 2024 memaparkan daya tahan dengan jumlah pergerakan penumpang berjumlah 45 juta atau peningkatan ketara sebanyak 15.5 peratus berbanding tempoh sama 2023 dan mencapai 87.9 peratus daripada paras penumpang bagi separuh pertama 2019.

Selain itu, penyertaan dua syarikat penerbangan baharu Air Arabia dan AJet di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen yang juga asetnya di Turkiye, memacu pergerakan penumpang melebihi paras prapandemik dengan mencatat 20 juta bagi separuh pertama 2024 -- peningkatan sebanyak 16.4 peratus berbanding tempoh sama 2023 dan naik 18.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2019.

Kumpulan MAHB mencatat 65 juta pergerakan penumpang pada separuh pertama 2024 atau menyamai pertumbuhan sebanyak 15.8 peratus berbanding separuh pertama 2023 dan mencecah 95.4 peratus daripada paras 2019.

Prestasi aliran pergerakan penumpang yang kukuh dalam enam bulan pertama 2024 pula kebanyakannya didorong oleh pergerakan penumpang antarabangsa selain peningkatan permintaan bagi perjalanan udara, pengecualian visa untuk pengembara dari China dan India selain pelbagai laluan penerbangan yang diperluas.

“Jumlah pergerakan penumpang antarabangsa untuk kumpulan itu mencatat 34.1 juta penumpang pada separuh pertama 2024, meningkat daripada 26.5 juta pada enam bulan pertama 2023 dan naik 5.3 peratus berbanding 2019.

“Pergerakan penumpang domestik juga memberangsangkan dengan pertumbuhan sebanyak 4.1 peratus berbanding separuh pertama 2023 dengan 30.9 juta penumpang atau 86.5 peratus daripada paras 2019,” katanya.

MAHB juga kekal optimis mengenai kemampuan mengekalkan momentum positif serta komited terhadap usaha menambah pengalaman penumpang, memperluas rangkaian laluan serta meningkatkan kecekapan operasi bagi menyokong pertumbuhan mampan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan