EKONOMI

KOPERASI CO-OPBANK PERTAMA TERUSKAN, TAMBAH BAIK KEMPEN PULIH 2.0

22/07/2024 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) meneruskan kempen Pemulihan Kewangan Pelanggan CBP (PULIH) yang diperkenalkan tahun lepas dengan PULIH 2.0 tahun ini.

Menurut CBP, kempen PULIH 2.0 menyasarkan pelanggan yang menghadapi masalah pengurangan pendapatan bulanan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan asal untuk mengambil peluang yang ditawarkan.

Kempen mulai 1 Jun dan sehingga 31 Dis, 2024 itu merupakan inisiatif yang dirangka bagi mengurangkan bebanan kewangan yang dihadapi oleh pelanggan dengan hanya membayar separuh (50 peratus) daripada ansuran asal pembiayaan selama tiga tahun sekiranya permohonan diluluskan, jelas CBP dalam kenyataan pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif CBP Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata kempen itu diteruskan tahun ini sebagai inisiatif dalam membantu pelanggan menguasai situasi kewangan dan merangka pelan pembayaran semula pembiayaan secara peribadi melalui rundingan dengan penyedia perkhidmatan kewangan pelanggan.

“Kempen ini ditambah baik dengan menurunkan peratus pengurangan pendapatan pelanggan daripada 25 peratus pada 2023 kepada 10 peratus bagi tahun ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.

CBP memaklumkan antara kriteria pelanggan yang layak memohon ialah bukan seorang yang muflis atau bankrap, tidak berkemampuan untuk mengurus hutang, pendapatan terjejas, mesti mempunyai atau pendapatan bersih yang positif serta tidak memperolehi award tribunal Suruhanjaya Koperasi Malaysia atau penghakiman saman sivil.

CBP berharap inisiatif ini dapat membantu meningkatkan kesedaran pelanggan dalam menguruskan kewangan, dan bagi maklumat lanjut mengenai Kempen PULIH 2.0, pelanggan boleh menghubungi Recovery Department CBP di talian 03-41442750 / 03-41442650 / 03-41442450.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan