DUNIA

PENGUNDURAN BIDEN DIJANGKA DOMINASI MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR EU

22/07/2024 03:29 PM

BRUSSELS, 22 Julai (Bernama-dpa) -- Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden bahawa beliau menarik diri daripada pilihan raya presiden dijangka mendominasi Mesyuarat Menteri-menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin, di tengah kebimbangan banyak negara Eropah mengenai kemungkinan kembalinya Donald Trump sebagai presiden, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mesyuarat pada Isnin dijadual membincangkan konflik berterusan di Ukraine dan Asia Barat, tetapi keputusan bersejarah Biden dijangka mengalih perhatian daripada agenda utama itu.

Biden pada Ahad mengumumkan bahawa beliau tidak akan bertanding untuk penggal kedua, menyebabkan pergolakan dalam Parti Demokratik yang kini terpaksa mencari calon baharu bagi menentang Donald Trump pada pilihan raya 5 November.

Hubungan antara EU dan AS tegang semasa penggal pertama Trump dan banyak negara Eropah bimbang sekiranya penggal kedua beliau akan membawa kesan besar terhadap perang di Ukraine, perdagangan global dan keselamatan Eropah.

Namun, tidak semua negara anggota EU berkongsi kebimbangan ini, terutama dengan perubahan politik yang dilihat dalam pilihan raya Parlimen Eropah bulan lalu.

Reaksi awal pada Ahad termasuk Perdana Menteri Poland Donald Tusk, yang memuji Biden di platform X atas "banyak keputusan sukar hingga menjadikan Poland, Amerika dan dunia lebih selamat, serta demokrasi lebih kuat."

Sebaliknya, ketua Party for Freedom Belanda, Geert Wilders menyiarkan semula ciapan yang memaparkan foto Trump selepas cubaan bunuhnya gagal minggu lalu, bersama dengan kata-kata "Presiden Trump" dan emoji otot bisep yang menonjol.

Perhatian juga mungkin tertumpu kepada Perdana Menteri Hungary Viktor Orbán yang bertemu Trump awal bulan ini dalam satu siri diplomasi.

Siri diplomasi itu turut melibatkan lawatan terhadap Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping.

-- BERNAMA-dpa

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan