AM

MOSTI TITIK BERAT PENGLIBATAN ANTARA SAINTIS DAN PELAJAR BAGI BUDAYAKAN STIE

22/07/2024 01:45 PM

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sentiasa menitikberatkan elemen penglibatan serta perhubungan interaktif antara saintis dan pelajar bagi membudayakan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata sebagai contoh, penganjuran Minggu Sains Negara (MSN) sejak 2018 dan Karnival Sains yang dilaksanakan secara bersasar di semua negeri setiap tahun telah mengetengahkan slot perkongsian serta demonstrasi oleh saintis jemputan kepada pengunjung.

“Saya turut dimaklumkan bahawa peringkat separuh akhir NSC (National Science Challenge) 2024 akan dilaksanakan dalam bentuk StemCamp, yang mana lebih 30 saintis dilibatkan sebagai mentor, penceramah dan penilai kepada pasukan terpilih dari 20 sekolah seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis meraikan pemenang NSC 2023 yang akan mengadakan lawatan sambil belajar selama seminggu ke China, di sini hari ini.

NSC 2023 menyaksikan Kolej Yayasan Saad (KYS), Melaka muncul sebagai juara dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000, Piala Pusingan Perdana Menteri, lawatan sambil belajar, peranti, biasiswa pendidikan dan sijil penyertaan.

Kemenangan itu merupakan kali keempat buat KYS, selepas menjadi juara pada 2013, 2017 dan 2021.

Selain itu katanya, MOSTI turut mengadakan Kembara Sains Borneo (KSB) yang menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman antara saintis dengan para pelajar dari sekurang-kurangnya 14 sekolah di Sabah dan lapan sekolah di Sarawak.

Beliau berkata KSB 2024 yang akan bermula pada 1 dan 2 Ogos ini di Sabah akan lebih berfokus pada kumpulan sasar yang lebih spesifik, namun meliputi jangkauan capaian yang lebih besar berbanding edisi tahun lepas.

Mohammad Yusof berkata majlis pelepasan KSB edisi kedua itu akan diadakan di Lahad Datu, Sabah sebelum peserta mula mengembara ke 10 kawasan di Sabah dan lima kawasan di Sarawak, bagi menjayakan pelbagai aktiviti serta program bersama masyarakat setempat dalam membudayakan STIE.

Beliau berharap pelaksanaan semua program berkenaan membolehkan pelajar menjadikan saintis sebagai contoh kepada mereka untuk melibatkan diri dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Ini (program-program) juga merujuk kepada saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada MOSTI untuk mengenal pasti 100 saintis dan melaksanakan program di 100 sekolah seluruh negara sebagai salah satu langkah meningkatkan minat pelajar kepada bidang ini, sekali gus membentuk pelajar menjadi bakat yang mampu memimpin negara ke era kecemerlangan teknologi,” katanya.

Baru-baru ini, Anwar mahu usaha itu dilaksanakan MOSTI bagi menarik minat pelajar dalam bidang STEM yang dilaporkan semakin berkurangan serta memberi manfaat kepada rakyat terutama dalam era berteraskan bidang digitalisasi, kecerdasan buatan dan bioekonomi.

Mengenai NSC, Mohammad Yusof berkata pertandingan itu telah diiktiraf sebagai satu daripada pertandingan sains yang berprestij bagi pelajar sekolah menengah di negara ini dan berharap pengalaman yang diperoleh dapat menginspirasi pelajar untuk terus berkecimpung dalam bidang STEM.

Sementara itu, Setiausaha Agung Akademi Sains Malaysia (ASM) Profesor Noorsaadah Abd Rahman berkata sejak 24 tahun pelaksanaan NSC, pertandingan itu telah berkembang daripada kuiz sains kepada platform yang diiktiraf di peringkat kebangsaan untuk mencabar dan menginspirasi minda generasi muda.

“Diperhatikan bahawa ramai bakat luar biasa berjaya dicungkil melalui NSC, yang mana mereka kemudiannya menongkah kejayaan dalam pelbagai bidang STEM di Malaysia dan luar negara,” katanya.

Noorsaadah berkata antara ciri unik NSC ialah memberi peluang kepada pemenang untuk menyertai program lawatan sambil belajar ke luar negara bagi memberikan pendedahan tentang keunikan budaya dan norma masyarakat di negara yang dilawati.

Katanya, juara NSC sebelum ini pernah mengambil bahagian untuk menyaksikan anugerah Hadiah Nobel di Stockholm, lawatan ke Silicon Valley, Amerika Syarikat dan program SAKURA Science Exchange di Jepun.

“Tahun ini, ASM teruja menghantar juara NSC 2023 (KYS) ke Kunming, Yunnan, China untuk menyertai program 8th Belt and Road Teenager Maker Camp and Teacher Workshop,” katanya sambil menambah kejayaan KYS membuktikan pasukan itu sebagai yang terbaik daripada 9,888 pasukan yang menyertai NSC 2023.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan