EKONOMI

SELANGOR SASAR JUALAN RM550,000 PADA EKSPO MALAYSIA FEST 2024 DI SINGAPURA

22/07/2024 07:17 PM

SHAH ALAM, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor menyasarkan nilai jualan sebanyak RM550,000 daripada 11 usahawan yang menyertai Ekspo Malaysia Fest 2024 selama empat hari di Singapura, bermula Khamis ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim berkata sasaran itu menyaksikan peningkatan daripada nilai jualan sebanyak RM332,723.92 yang direkodkan pada 2022, iaitu kali terakhir kerajaan negeri menyertai ekspo berkenaan.

Beliau berkata menerusi penyertaan berkenaan, pihaknya turut menganggarkan impak jangka panjang sebanyak RM1.3 juta dapat dicapai tahun ini hingga Disember 2026 susulan peluasan akses jualan pasaran ke luar negara melibatkan produk, potensi eksport produk baharu, promosi serta sesi suai padanan dalam talian.

“Produk utama yang menjadi fokus untuk dipasarkan oleh Selangor ialah buah naga yang merupakan ikon bagi daerah Sepang, aneka keropok ikan dan kerepek, snek cendawan rangup, minuman probiotik, minuman sarang burung serta biskut berasaskan buah-buahan (frukies),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Konvoi Ekspo Malaysia Fest 2024 di Singapura, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini hari ini.

Izham berkata kerajaan negeri turut menanggung kos logistik dan sewaan di ekspo itu bagi kesemua 11 usahawan berkenaan yang dianggarkan berjumlah RM200,000.

 Ekspo Malaysia Fest 2024 di pusat konvensyen dan pameran EKSPO Singapura akan mempamerkan pelbagai produk makanan, fesyen, kecantikan dan pelancongan negara ini.

Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipili sebelum ini dilaporkan berkata pesta anjuran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui FAMA, dengan kerjasama MegaXpress International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura, akan menempatkan lebih 300 gerai.

Menurut Aminuddin edisi ketujuh bertemakan “Terokai Permata Malaysia” itu menyasarkan untuk menjana jualan langsung sebanyak RM12 juta selain menarik kehadiran 120,000 pengunjung.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan