AM

FESTIVAL TARIAN SINGA 2024 DI KUCHING, HUJUNG MINGGU INI

22/07/2024 02:04 PM

PUTRAJAYA, 22 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama kerajaan Sarawak bakal menganjurkan Festival Tarian Singa 2024 selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Julai ini di Kuching Waterfront.

MOTAC dalam kenyataan memaklumkan festival yang julung kali diadakan itu satu daripada inisiatif untuk menyemarakkan aktiviti pelancongan, kebudayaan dan ekonomi di Sarawak, khususnya di Kuching.

Acara kemuncak bagi program itu ialah majlis perasmian yang akan diadakan pada 7 malam Sabtu. 

“Festival Tarian Singa 2024 akan menampilkan kepelbagaian aktiviti seni, budaya, warisan dan pelancongan dan terbuka kepada orang awam. 

“Ia melibatkan ramai pihak terutama pemain industri pelancongan dan kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa ke Kuching,” menurut MOTAC.

Perarakan kumpulan tarian singa, sesi perkongsian ilmu bersama adiguru kraf kepala singa, demo teknik permainan gendang tarian singa dan jualan kraftangan, antara pengisian menarik pada karnival itu.

MOTAC memaklumkan matlamat utama penganjuran program adalah untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya di Malaysia yang dapat diraikan bersama komuniti setempat, melestarikan seni budaya tempatan dan memaparkan keunikan, keistimewaan serta kepelbagaian seni budaya dan warisan negara kepada umum.

Program itu juga berperanan menjadi satu daripada daya tarikan pelancong tempatan dan antarabangsa serta turut menyumbang ke arah menyemarakkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan