AM

JULUNG KALI TERIMA TETAMU DIRAJA, ORANG ASLI GOMBAK TERUJA SAMBUT KEBERANGKATAN RAJA ZARITH SOFIAH ESOK

22/07/2024 02:44 PM

Oleh Mohd Fharkhan Abdul Ghapar

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Hospital Orang Asli Gombak (HOAG) di sini, bakal melakar sejarah tersendiri apabila menerima kunjungan Raja Permasuri Agong Raja Zarith Sofiah, esok.

Keberangkatan Raja Zarith Sofiah pastinya dinantikan dengan penuh teruja lebih 1,000 masyarakat Orang Asli pelbagai suku di kawasan itu, malah menjadi satu lagi bukti keutuhan hubungan simbiosis rakyat pelbagai latar belakang dengan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Batu 12 Gombak Suhaimi Along berkata keberangkatan Raja Permaisuri Agong ke fasiliti kesihatan utama masyarakat peribumi di kawasan berkenan amat bermakna kerana bukan sahaja memberi peluang penduduk untuk bertemu secara lebih dekat, tetapi juga menyembahkan hasrat masing-masing.

Beliau berkata peluang untuk menghadap Raja Permaisuri Agong akan dimanfaatkan untuk menyembah maklum hasrat masyarakat terutama berkaitan soal kebajikan, kesihatan dan pembangunan masyarakat.

“Ini pertama kali kawasan kampung ini dikunjungi tetamu diraja. Tak pernah kami sangka Raja Permaisuri Agong berkenan untuk menyantui kami di sini, ini bakal menjadi kenangan amat manis buat kami.

“Kalau saya diberi peluang untuk menghadap Seri Paduka Baginda (Raja Zarith Sofiah), saya ingin menyampaikan hasrat agar keharmonian dan kehijauan kampung kami dikekalkan serta keperluan pembangunan sosioekonomi, taraf hidup dan pendidikan masyarakat kami sentiasa dipelihara dan terbela,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini. 

Esok, Raja Zarith Sofiah dijadual berangkat ke HOAG yang merupakan sebahagian daripada acara sempena Istiadat Pertabalan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Pada Sabtu lepas, Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara. 

Suhaimi berkata bagi menyambut keberangkatan Raja Zarith Sofiah, segala persiapan awal dan rapi dilakukan malah masyarakat di kawasan berkenaan juga bakal mempersembahkan tarian sewang kepada Seri Paduka Baginda.

Beliau berkata HOAG juga sangat signifikan kerana ia merupakan fasiliti kesihatan utama untuk masyarakat di kawasan itu sejak 1950-an dan lebih membanggakan ramai petugas di hospital itu pada masa ini terdiri daripada kalangan Orang Asli pelbagai suku termasuk dari negeri lain. 

Suhaimi berkata perkhidmatan yang disediakan di hospital itu antaranya klinik bergerak, klinik pergigian, rawatan harian, wad harian pesakit, klinik ibu dan anak, rawatan kecemasan dan unit kerja sosial. 

"Selain itu, terdapat program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) yang memberi pendedahan berkaitan rawatan asas kepada penduduk apabila berlaku kecemasan di lokaliti yang jauh dari hospital,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan maklumat latar belakang HOAG menerusi laman web hospital itu, sejarah perkhidmatan kesihatan bermula sekitar akhir 1950-an apabila belia Orang Asli yang berkebolehan menjadi petugas perubatan dengan pangkat "Field Staff Medical” menjalani latihan perubatan di Aborigine Medical Centre di Kuala Lipis, Pahang dan diserap tugas ke Pasukan Senoi Praaq di Batu 12, Gombak.

Pasukan Senoi Praaq Batu 12 Gombak berpindah ke Jalan Maxwell di sini, manakala Bahagian Perubatan Jabatan Orang Asli berpindah ke Batu 12, Gombak pada September tahun sama dan fasiliti itu ditukar nama kepada Rumah Sakit Orang Asli pada 1960.

Pada 1972, Rumah Sakit Orang Asli dijenamakan sebagai Hospital Orang Asli yang mempunyai 13 wad berkapasi 400 katil, selain terdapat 528 petugas membabitkan 475 orang adalah berketurunan Orang Asli. 

Pada 1987, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang kini dikenali sebagai Jabatan Kemajuaan Orang Asli (JAKOA) telah membina sebuah bangunan hospital baharu setinggi empat tingkat bagi menggantikan bangunan wad lama.

Selepas 57 tahun fasiliti kesihatan untuk Orang Asli itu ditadbir urus oleh JHEOA serta JAKOA, Kerajaan Persekutuan pada 13 Julai 2011, meluluskan syor agar Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil alih HOAG dan pada 2012 secara rasmi semua perkhidmatan kesihatan ditadbir urus KKM sehingga kini.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan