JENAYAH & MAHKAMAH

WASPADA PANGGILAN TELEFON PEGAWAI FARMASI PALSU - JKN KELANTAN

22/07/2024 05:27 PM

KOTA BHARU, 22 Julai (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengingatkan orang awam supaya sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan anggota sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai farmasi.

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Hussin berkata perkara itu dikesan selepas Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kelantan menerima maklumat ada pihak tertentu yang membuat panggilan kepada mangsa dengan menyatakan mangsa telah melakukan kesalahan berkaitan kosmetik dan disaman pihak jabatan.

“Orang awam yang menerima panggilan itu dinasihatkan agar bertenang dan berfikir terlebih dahulu sama ada pernah atau tidak mempunyai sebarang urusan dengan Bahagian Perkhidmatan Farmasi.

"Jika tiada sebarang urusan, abaikan panggilan itu dan jangan sesekali mendedahkan apa-apa maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, pasport, nombor akaun bank dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata mereka yang memerlukan sebarang semakan dan pertanyaan lanjut boleh hubungi Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Kelantan melalui talian 09-7730 586.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan