AM

PELAJAR, RAKYAT MALAYSIA DI BANGLADESH AKAN DIBAWA PULANG, KESELAMATAN MEREKA JADI KEUTAMAAN - ANWAR

22/07/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Kerajaan memutuskan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Bangladesh kerana mengutamakan keselamatan mereka, berikutan ketegangan yang memuncak di negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia susulan pemantauan Kementerian Luar terhadap perkembangan mutakhir di Bangladesh.

“Sama ada mereka (pelajar) bantuan kerajaan atau pelajar swasta, kita akan bantu, dan Menteri Luar akan mengadakan mesyuarat, kalau perlu menyewa pesawat untuk bawa mereka pulang.

“Ketika ini keselamatan anak-anak Malaysia jadi keutamaan kita. Beberapa hari pertama itu nampak keadaan mungkin terkawal, tetapi sekarang ini dari maklumat kedutaan rasanya lebih sesuai kalau mereka dibawa pulang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Sementara itu Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dalam sidang media di PUTRAJAYA berkata kerajaan akan membawa pulang semua pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh selepas pelan pemindahan segera itu mendapat 'lampu hijau' daripada Perdana Menteri.

Beliau berkata rakyat Malaysia di Bangladesh termasuk 124 pelajar akan dibawa pulang dengan penerbangan khas AirAsia. 

Mohamad berkata pesawat khas yang mampu membawa 350 penumpang itu dijangka meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal Dhaka pada pukul 10 pagi esok (waktu tempatan Bangladesh).

“Pada mulanya kita hendak sewa pesawat kapasiti 250 orang, tapi telah diputuskan pihak Air Asia akan hantar Airbus A330 wide body kerana mungkin ada tambahan individu yang menaiki pesawat itu pada saat-saat akhir.

“Kita dapati ada juga juruterbang rakyat Malaysia yang bertugas di Bangladesh turut memohon untuk kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata Wisma Putra mengikuti rapat perkembangan konflik di Bangladesh dari hari pertama, dan kini pihaknya melihat wujud keperluan mengaktifkan pelan pemindahan bagi menyelamatkan rakyat Malaysia di negara berkenaan.

“Pagi tadi saya telah berbincang dengan Perdana Menteri menerusi panggilan telefon, dan beliau mahukan supaya rancangan bawa balik pelajar itu perlu disegerakan. Kementerian Luar telah menganalisis keadaan di sana dan mendapati isu (konflik) tidak akan selesai segera, (jadi) rakyat kita akan kembali ke tanah air,” katanya.

Mohamad berkata seorang pelajar yang menuntut di Chittagong Medical College tidak akan pulang ke Malaysia kerana berada sejauh 313.4 kilometer dari Dhaka, namun Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Dhaka memberi jaminan akan menjaga kebajikan pelajar berkenaan.

Beliau seterusnya menafikan kenyataan pihak tertentu yang mendakwa Wisma Putra lambat bertindak, dan beliau memohon supaya semua pihak bertenang.

“Semuanya berada di bawah pengawasan STM, malah makanan juga telah disampaikan kepada pelajar pagi ini,” katanya.

Ditanya sama ada pejabat STM di Dhaka akan ditutup sementara susulan pemindahan berkenaan, Mohamad berkata semua premis di Bangladesh telah dikenakan perintah berkurung, dan pegawai STM tetap akan berada di sana, hanya ahli keluarga mereka sahaja yang terlibat dalam pelan pemindahan itu.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan wakil ibu bapa pelajar yang sedang menuntut di Bangladesh dan menyatakan komitmen kerajaan untuk membawa pulang pelajar Malaysia ke tanah air.

Memahami kegusaran ibu bapa berhubung keadaan anak mereka di sana, Mohamad berkata ibu bapa tidak perlu panik dan bimbang kerana keadaan pelajar tersebut adalah selamat.

Ribuan pelajar di Bangladesh mengadakan demonstrasi sejak 1 Julai selepas mahkamah mengembalikan kuota untuk pekerjaan awam yang telah dimansuhkan pada 2018.

Kerajaan Bangladesh telah mengenakan perintah berkurung di seluruh negara Sabtu lepas sebagai tindak balas terhadap peningkatan keganasan dan demonstrasi.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan