AM

MENTERI KANAN SINGAPURA BERLEPAS PULANG SELEPAS TAMATKAN LAWATAN KE MALAYSIA

22/07/2024 05:46 PM

SEPANG, 22 Julai (Bernama) -- Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong hari ini berlepas pulang selepas menamatkan lawatan empat hari ke Malaysia bagi menghadiri Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim di Istana Negara, Sabtu lepas.

Pesawat komersial yang membawa Lee bersama isterinya, Ho Ching serta delegasi berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 di sini, pada kira-kira 4.30 petang. 

Lee diiringi Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan dan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad dan Menteri Negara Kanan bagi Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling yang juga Menteri Negara Kanan bagi Perdagangan dan Perusahaan.

Dalam lawatan berkenaan, Lee menghadiri Santapan Diraja pada malam Sabtu dan turut bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan

Menteri Kanan Singapura itu berkata beliau yakin hubungan antara Singapura dan Malaysia akan terus berkembang maju di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim.

Lee yang pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Singapura selama hampir 20 tahun, berkata kali terakhir bertemu Seri Paduka Baginda adalah pada Mei, ketika Sultan Ibrahim melakukan lawatan negara pertama ke Singapura sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia.

Semasa lawatan tersebut, bekas perdana menteri itu berucap pada majlis makan malam di Kelab Perniagaan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan