EKONOMI

EPIC RANCANG PERLUAS RANGKAIAN PERKHIDMATAN TENAGA SOLAR

22/07/2024 09:13 PM

CHUKAI, 22 Julai (Bernama) -- Anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) menerusi subsidiari, EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) merancang untuk memperluas rangkaian perkhidmatan dalam bidang tenaga solar dan teknologi hijau di Malaysia.

Pengerusi ESSB Dr Mamad Puteh berkata perancangan itu selari dengan misi syarikat dan menyokong aspirasi Malaysia untuk mencapai penggunaan 40 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2035.

Bagi mencapai hasrat itu, EESB telah menjadi perintis dan pemacu dalam projek solar di Pantai Timur dengan pembukaan ladang solar seluas 28 hektar yang berkapasiti sehingga 18.5 MegaWatt (MW) di Teluk Kalong, di sini.

“Loji jana kuasa di Teluk Kalong membekalkan tenaga solar berkapasiti sehingga 18.5 MW kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui grid nasional bagi tempoh 21 tahun iaitu sehingga 2039.

“Ini dibangunkan dengan pelaburan besar iaitu sekitar RM80 juta pada 2017,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis meraikan 150,000 Jam Bekerja Tanpa Kemalangan di Ladang Solar ESSB di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong.           Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Mukhtar Suhaili dan Ketua Syarikat ESSB Azman Muda.

Mengulas selanjutnya, Dr Mamad berkata bertepatan dengan matlamat untuk menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai sebuah pelabuhan hijau, ESSB turut melaksanakan pemasangan lampu jalan solar dan lampu limpah solar di terminal Dermaga Timur.

Pemasangan lampu jalan dan limpah yang dikategorikan sebagai perkhidmatan sokongan juga diperluas kepada pelanggan EPIC Bhd di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB), termasuk Petronas Carigali Sdn Bhd.

"EPIC mempunyai hasrat besar untuk menjadikan Pelabuhan Kemaman sebagai sebuah pelabuhan hijau di masa akan datang.

“Kemudahan yang berasaskan janaan tenaga solar seperti lampu jalan dan lampu limpah ini akan membantu operasi bukan sahaja anak syarikat EPIC, malah pelanggan-pelanggan kami di dermaga dan KSB," katanya.           Dalam pada itu, Dr Mamad berkata ESSB juga melangkah lebih maju dengan mengeluarkan kenderaan EPIC Solar Car (ESCAR) yang lebih mesra alam iaitu inovasi hasil kolaborasi syarikat dengan Kolej Universiti TATI (UCTATI) yang terletak di daerah Kemaman.

Pada mulanya ESCAR hanya digunakan untuk kegunaan di ladang solar ESSB, namun diperluas ke beberapa premis anak syarikat iaitu Kuala Terengganu Support Base (KPKSB) dan Sukma Samudra Sdn Bhd (SSSB).

"ESCAR adalah inovasi kenderaan ringan atau bugi yang biasanya digunakan di kelab golf, industri perhotelan dan kawasan pelancongan.

"Kenderaan ini mengguna pakai tenaga elektrik yang dijana oleh tenaga solar disimpan dalam bateri. Antara kelebihan ESCAR adalah dapat menjimatkan penggunaan elektrik,” katanya.

Dr Mamad berkata ESCAR akan turut ditambah baik daripada segi peningkatan kapasiti dan ciri sedia ada untuk tujuan komersial di masa akan datang.

Beliau berkata ESSB juga sedang membangunkan keupayaan untuk menjadi pelabur, pembekal dan pemasang bumbung berkuasa solar.

Malah, bersandarkan kekuatan tenaga kerja berpengalaman dan berkemahiran tinggi, pihaknya yakin ESSB akan menjadi pesaing utama dalam industri tenaga boleh baharu dan seterusnya menjana sumber ekonomi negeri Terengganu.            

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan