EKONOMI

HAIER MALAYSIA JANGKA JUALAN MENINGKAT 40 PERATUS PADA SEPARUH KEDUA 2024

22/07/2024 08:02 PM

PETALING JAYA, 22 Julai (Bernama) -- Haier Electrical Appliances (Malaysia) Sdn Bhd menjangkakan peningkatan jualan sebanyak 40 peratus pada separuh kedua 2024 dan pertumbuhan jualan pula naik sekurang-kurangnya 30 peratus pada 2025.

Pengarah Urusannya, Fan Jing berkata sasaran itu ditetapkan susulan prestasi jualan positif Haier Malaysia sebanyak 43 peratus pertumbuhan tahun ke tahun pada separuh pertama 2024.

“Kami menjangkakan prestasi jualan dalam kategori peti sejuk untuk separuh kedua 2024 naik sebanyak 40 peratus. Bagi kategori penyejuk beku, Haier menyasarkan peningkatan sebanyak 15 peratus pada sepearuh kedua 2024.

“Haier telah menjadi jenama nombor satu di Malaysia bagi kategori peti sejuk," katanya selepas melancarkan barisan produk baharu Haier 2024 - COOLING di sini hari ini.

Fan berkata syarikat itu menyasarkan untuk mencapai 16 peratus bahagian pasaran dalam pasaran peti sejuk pelbagai pintu dan menjadi salah satu daripada tiga jenama teratas di Malaysia menjelang akhir tahun ini.

“Untuk tahun depan, kami ingin menjadi nombor satu dari segi bahagian pasaran bagi kategori peti sejuk pelbagai pintu,” katanya.

Untuk barisan produk Haier 2024 COOLING baharu, syarikat itu telah memperkenalkan 12 model termasuk tujuh varian baharu untuk kategori peti sejuk dan lima varian baharu di bawah kategori penyejuk beku termasuk dua model ‘wine cellars’.

Fan berkata Haier Malaysia optimis bahawa penambahan baharu ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan perniagaan separuh kedua 2024 syarikat itu dan diunjurkan mencatat pertumbuhan perniagaan lebih tinggi akhir tahun ini.

"Kami menyasarkan untuk menjual 1,000 unit sebulan untuk peti sejuk pelbagai pintu. Haier tidak meletakkan jangkaan tinggi untuk kategori peti sejuk beku kerana model wine cellars baru sahaja dilancarkan hari ini," katanya.

Fan berkata peti sejuk dan penyejuk beku baharu akan tersedia di semua 48 kedai jenama Haier di seluruh negara dan pengguna juga akan dapat melihat dan membeli produk ini daripada lebih 1,800 cawangan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan