JENAYAH & MAHKAMAH

KANAK-KANAK PEREMPUAN ENAM TAHUN DILAPORKAN HILANG DITEMUKAN SELAMAT - KP SELANGOR

23/07/2024 11:53 AM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Sabtu lepas ditemukan selamat di Selangor.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu berkata kanak-kanak terbabit dijumpai di kawasan Batang Kali.

“Ketua Polis Johor akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan Albertine Leo Jia Hui yang disedari hilang oleh bapanya di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri kira-kira 8.30 malam, pada Sabtu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan