AM

CHOW TANGKIS SPEKULASI KEDUDUKAN JAGDEEP, JELASKAN TIDAK PERNAH BINCANG PERKARA ITU

23/07/2024 02:17 PM

GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini menangkis spekulasi akan berlaku pertukaran jawatan yang disandang Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo, malah menafikan ia pernah dibincangkan sebelum ini.

Chow sebaliknya berkata Jagdeep telah berjumpa dengan beliau pada 19 Julai lepas bagi mengemukakan surat kelulusan permohonan cuti.

"Tujuan Jagdeep memohon cuti adalah bagi membolehkannya menjalani pemeriksaan dan berkemungkinan beliau memerlukan prosedur pembedahan pada kaki kiri selain pemeriksaan lanjut daripada pakar perubatan secepat mungkin.

"Setelah mempertimbangkan penjelasan dan tujuan permohonan cuti beliau, saya memberi kelulusan cuti selama 11 hari bekerja bermula 22 Julai sehingga 5 Ogos nanti sebagaimana dimohon oleh beliau," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga dimaklumkan bahawa Jagdeep sudah mula menerima rawatan yang diperlukan, semalam.

Chow berkata beliau dan seluruh jentera barisan kepimpinan Kerajaan Negeri mendoakan agar Jagdeep cepat sembuh dan kembali bersama-sama meneruskan agenda pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

Semalam, Bernama melaporkan, Jagdeep mengesahkan beliau kini sedang bercuti menjalani rawatan buku lali dan menafikan dakwaan kononnya beliau diarahkan bercuti daripada menjalankan tugas pentadbiran negeri.

Jagdeep, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sejak Ogos tahun lepas.

Sebelum ini, media melaporkan Jagdeep dinasihatkan ‘bercuti’ bermula semalam bagi menyelesaikan 'masalah peribadi' beliau.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan