AM

TANYA GURU, JANGAN BIAR DIRI TIDAK FAHAM - PELAJAR CEMERLANG STPM SABAH

23/07/2024 05:44 PM

KOTA KINABALU, 23 Julai (Bernama) -- Seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Sabah, Mohd Aidil Sulong, 20, berkata pelajar tidak sepatutnya membiarkan diri mereka berada dalam situasi tidak memahami apa yang diajar guru jika mahu mendapatkan keputusan cemerlang.

Beliau berkata segarang manapun seseorang guru, pelajar perlu memberanikan diri untuk bertanya dan tidak berdiam diri.

“Saya akan beri tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas selain bertanya kepada guru mata pelajaran berkenaan. 

Saya memberanikan diri untuk bertanya cikgu dan saya punya prinsip iaitu saya tidak akan membenarkan diri saya tidak memahami (pelajaran) dalam kelas," katanya kepada Bernama pada majlis pengumuman keputusan STPM di sini hari ini.

Bercita-cita untuk menjadi seorang guru Geografi, Mohd Aidil merupakan antara 130 pelajar Sabah yang berjaya mencatatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam peperiksaan itu.

Menurut pelajar Pusat Tingkatan Enam Maktab Sabah itu, kesabaran guru mengajarnya untuk memahami pelajaran menarik minatnya untuk menjadi seorang pendidik. 

Sementara itu, Hanifizwan Kamaruddin, 20, yang turut meraih PNGK 4.0 berkata fokus semasa dalam kelas merupakan kunci kejayaannya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu. 

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balung, Tawau itu berkata beliau juga meluangkan masa mengulang kaji antara 8 malam hingga 12 tengah malam.

"Dari dulu saya mahu menjadi guru dan sekarang ini saya harap dapat masuk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau Universiti Malaya (UM)," katanya sambil menambah ibunya hanya bekerja sebagai seorang jurujual sekali gus mendorongnya untuk mencapai tahap kehidupan yang lebih baik.

Rakan sekolahnya Khairi Syed Alie, 20, pula berkata beliau menerapkan cara belajar konsisten iaitu hanya mengambil masa 30 hingga 45 minit sehari untuk mengulang kaji tetapi dilakukan secara berterusan.

Bercita-cita untuk menjadi ahli ekonomi, Khairi yang juga anak bongsu dari tujuh beradik itu berkata tinggal di asrama membolehkannya belajar secara berkumpulan sekali gus memberikannya semangat untuk belajar sehingga lewat malam dan akhirnya berjaya memperoleh PNGK 4.0.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan