EKONOMI

SABAH BERPOTENSI BESAR DALAM INDUSTRI HALAL, TINGKAT SUMBANGAN KEPADA KDNK - HDC

23/07/2024 06:45 PM

Oleh Khatijah Jistoh

TAWAU, 23 Julai (Bernama) -- Sabah mempunyai potensi besar dalam industri halal berdasarkan sumber bahan mentah dan barangan separa siap di negeri itu selain kedudukan strategik dan geografinya yang luas, kata Ketua Pegawai Eksekutif Halal Development Corporation (HDC) Hairol Ariffein Sahari.

Beliau berkata selain akses penerbangan yang baik antaranya penerbangan terus Tawau-China yang membuka peluang bagi perniagaan halal, Sabah juga mampu menjadi perantara yang menghubungkan rantaian bekalan halal Malaysia dengan negara besar seperti China, Jepun dan Korea Selatan.

“Prospek sumber dan usahawan di Sabah juga boleh diketengahkan untuk pengeluar di Semenanjung atau seluruh dunia yang membolehkan pengeluar menghasilkan produk halal bermutu tinggi,” katanya kepada Bernama selepas perasmian program Jelajah Halal Malaysia@Tawau Sabah di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Hairol Ariffein dalam usaha merealisasikan potensi Sabah, faktor penting adalah memastikan bahan mentah atau barangan separa siap yang digunakan dalam proses pengilangan mempunyai sijil halal yang sah.

Berikutan itu, HDC dalam usaha mengenal pasti sumber atau syarikat terutama dari Sabah yang dapat membekalkan bahan mentah atau barangan separa siap yang disahkan halal.

Beliau berkata sasaran utama HDC bagi industri halal adalah untuk menyumbang 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Malaysia pada 2030 yang turut menyaksikan unjuran sumbangan Sabah yang lebih besar selepas ini.

“Saya harap melalui usaha intervensi antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, kita dapat tingkatkan sumbangan Sabah 2.0-3.0 peratus untuk eksport industri halal bagi KDNK menjelang 2030,” katanya.

Malah, beliau mengunjurkan eksport halal negara meningkat  5.0-6.0 peratus pada tahun ini daripada RM53 bilion pada tahun lepas.

Mengulas Jelajah Halal Malaysia, Hairol Ariffein berkata program itu berjaya menjana jualan bernilai RM25.7 juta sejak penganjurannya pada 2021 dengan membabitkan lebih 2,000 Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.

"Program Jelajah Halal Malaysia @ Tawau, Sabah diadakan selama tiga hari ini bermula hari ini bertujuan membantu PMKS mendapat pendedahan mengenai peluang menembusi pasaran tempatan dan eksport dalam industri halal.

“Kita juga menumpukan usaha membangunkan bakat tempatan melalui latihan peningkatan kemahiran, kemahiran semula serta kemahiran silang," katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi yang merasmikan program itu berkata Sabah berpotensi menjadi hab halal yang turut merangkumi sektor perkhidmatan, termasuk pelancongan.

Tarikan semula jadi seperti Tawau dan Semporna juga amat sesuai bagi menggalakkan pelancongan mesra Muslim.

Bagi membolehkan premis mendapat akreditasi berkaitan, HDC dan Jabatan Standard terbabit dari segi latihan serta khidmat nasihat, katanya.

“Saya yakin program Jelajah Halal Malaysia@ Tawau, Sabah yang dilaksanakan hasil kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bersama HDC, dapat membuka peluang luas dalam pertumbuhan ekonomi setempat melibatkan produk serta perkhidmatan halal.

"Kerajaan negeri menyokong dan berusaha memastikan usahawan di Sabah dapat meneroka peluang industri halal berikutan unjuran pasaran halal global mencecah RM5 trillion pada 2030," katanya.

Selain itu, beliau berkata Sabah telah melakukan pelbagai usaha menerusi Kementerian Pembangunan Industri dan Keusahawan Sabah untuk membantu usahawan, termasuk menerusi penubuhan Hab Halal Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Kemudahan itu membolehkan pengusaha mendapatkan pensijilan halal Malaysia melalui sijil halal industri kotej selain sijil halal untuk usahawan makanan dan minuman di Sabah.

Pada masa sama, PMKS termasuk perusahaan berskala besar di Sabah diminta mendaftar sebagai ahli Platform Integrasi Halal (HIP) bagi mendapat akses dengan industri halal lain, sekali gus memperoleh perkhidmatan sokongan perniagaan, kata beliau.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan