EKONOMI

PIHAK BERKAITAN PERLU TAWARKAN GANTI RUGI KEPADA AIRASIA SUSULAN GANGGUAN IT - TONY

23/07/2024 06:27 PM

SUBANG, 23 Julai (Bernama) -- Pihak-pihak yang berkaitan perlu menawarkan pembayaran ganti rugi kepada AirAsia Group ekoran gangguan sistem teknologi maklumat (IT) global baru-baru ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata pihak berkenaan perlu bertanggungjawab terhadap insiden yang berlaku pada Jumaat lepas, yang menjejaskan perkhidmatan penerbangan.

“Pada dasarnya, sekiranya kita melakukan sesuatu kesilapan, kita perlu membayar ganti rugi. Kami, syarikat penerbangan lain serta perniagaan lain mengalami banyak kerugian. 

"Mereka perlu menawarkan pembayaran ganti rugi kepada kami, dan pada masa ini, kami perlu mengambil pendekatan tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran operasi AirAsia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (Lapangan Terbang Subang) di sini hari ini.

Pada Jumaat lepas, media melaporkan institusi utama seperti syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara terjejas akibat gangguan IT global.

Gangguan IT terbabit dikaitkan dengan firma teknologi keselamatan siber Amerika Syarikat, CrowdStrike Holdings Inc, yang menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Tony dalam catatan di laman LinkedIn Sabtu lepas berkata gangguan IT global telah menyebabkan syarikat penerbangan itu kehilangan jutaan pendapatan dan mewujudkan situasi yang tidak terkawal disebabkan gangguan sistem. 

Terdahulu, Tony dalam ucapannya berkata antara yang terjejas ekoran insiden itu adalah penjualan tiket dan pembatalan empat penerbangan domestik AirAsia.

Operasi AirAsia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Sabtu lepas dilaporkan terkawal dan menyambung semula operasi daftar masuk secara dalam talian pada 2 petang hari yang sama.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu menguruskan lebih 168,000 penumpang dalam 941 penerbangan melibatkan tujuh Sijil Pengendali Udara (AOC) termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia Philippines, AirAsia Indonesia, Thai AirAsia, AirAsia Cambodia, AirAsia X dan Thai AirAsia X.

-- BERNAMA

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan