AM

KERAJAAN SELANGOR PERTIMBANG TAMBAH JENTERA MENUAI PADI MINI - EXCO

23/07/2024 07:56 PM

SEKINCHAN, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan Selangor mempertimbangkan untuk menambah mesin menuai padi mini bagi memaksimumkan hasil tuaian komoditi itu, kata Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Izham Hashim. 

Beliau berkata penggunaan jentera menuai bersaiz besar oleh kebanyakan pesawah dikenal pasti menjadi antara punca hasil tuaian padi yang kurang optimum.

"Kita mendapati jentera menuai besar ini menyebabkan kehilangan padi sekitar 20 peratus.

"Melalui penggunaan jentera menuai bersaiz mini, kehilangan hasil tuaian berkurangan dengan ketara atau hanya setakat 3 ke 5 peratus," katanya ketika sesi lawatan kerja ke Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Bahagian Jentera di sini hari ini.

Izham berkata setakat ini terdapat tujuh jentera menuai padi mini di bawah seliaan agensi pertanian di Selangor dan bilangan berkenaan berkemungkinan akan ditambah mengikut kesesuaian semasa. 

Selaras dengan Pelan Transformasi Agro Selangor (PETA), kerajaan negeri juga bercadang untuk memantapkan lagi penyediaan jentera dan peralatan pertanian lain yang sesuai seperti dron untuk digunakan oleh golongan petani di negeri itu, katanya. 

Terdahulu pada lawatan itu, Izham berkesempatan memeriksa dua jentera menuai padi mini yang diterima oleh PPN Bahagian Jentera menerusi peruntukan Lembaga Pertubuhan Peladang Selangor 2024 dan telah dibuka untuk sewaan kepada pesawah di bahagian Barat Laut Selangor. 

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan