AM

KERAJAAN AKAN WUJUDKAN KURSUS FISIOTERAPI DALAM TVET - AHMAD ZAHID

23/07/2024 06:50 PM

SHAH ALAM, 23 Julai (Bernama) -- Kerajaan akan mewujudkan sijil bagi kursus kemahiran fisioterapi untuk dimasukkan dalam aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata terdapat keperluan untuk kerajaan mewujudkan kursus kemahiran berkenaan bagi mengimbangi nisbah seorang ahli fisioterapi dengan kadar kependudukan negara.

Beliau berkata ketika ini nisbah ahli fisioterapi di Malaysia adalah satu ahli fisioterapi kepada 7,400 penduduk dan kadar itu agak berbeza berbanding di negara maju lain.

“Di negara-negara maju, terdapat kadar kependudukan seorang ahli fisioterapi bagi setiap 2,000 penduduk. 

“Di negara kita, seorang ahli fisioterapi kepada 7,400 penduduk. Jadi, ini merupakan satu langkah jangka  panjang yang harus digarap oleh sistem TVET,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Fisioterapi dan Rehabilitasi Sukan ProPain di Seksyen 13, di sini hari ini.

 Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata sebelum ini, kursus fisioterapi banyak ditawarkan di kolej dan universiti menerusi fakulti perubatan dan kesihatan sekurang-kurangnya di peringkat Diploma. 

Untuk itu, katanya kursus persijilan di peringkat bawahan boleh dilakukan melalui beberapa institusi TVET yang akan diumumkan kelak.

Timbalan Perdana Menteri berkata pada peringkat permulaan, kursus itu akan memberikan latihan asas menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) bagi tahap 1 dan 2. 

"Oleh kerana negara memerlukan ahli fisioterapi yang ramai, maka ini adalah bidang yang harus diceburi tanpa melalui sistem akademik yang biasa," katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan