AM

PM SAMBUT BAIK PERJANJIAN ANTARA FATAH DAN HAMAS

23/07/2024 08:24 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik perjanjian antara Fatah dan Hamas yang dimeterai di Beijing, China hari ini bagi memperkukuh solidariti dalam kalangan rakyat Palestin.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Anwar berkata Deklarasi Beijing itu menyaksikan satu langkah positif ke arah mencapai perpaduan dan amat penting terutama dalam merealisasikan hak rakyat Palestin.  

Beliau turut memuji kerajaan China kerana memudahkan pertemuan serta perbincangan antara Fatah, Hamas dan 12 fraksi politik lain yang membentuk perjuangan Palestin. 

"Saya amat berharap bahawa deklarasi perpaduan ini benar-benar diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya serta dalam menongkah tantangan di masa hadapan," katanya.

Memandangkan perakuan antarabangsa amat penting, Anwar menggesa kerajaan di seluruh dunia yang belum berbuat demikian untuk segera memperakukan Negara Palestin selain memberi dukungan kepada deklarasi perpaduan itu. 

"Kesemua pihak mesti secara bersama merencana, merangka serta memastikan sikap barbarik dan biadap Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan," kata Perdana Menteri.

Beliau juga berkata Malaysia bersedia untuk mencurahkan tenaga serta keringat ke arah tersebut demi keadilan dan kebebasan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan