AM

LARANGAN EMPAT INDIVIDU BERCERAMAH DI PRK DUN NENGGIRI PALSU - AHMAD ZAHID

25/07/2024 05:38 PM

KOTA TINGGI, 25 Julai (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan surat layang yang mendakwa empat individu termasuk menteri dan pempengaruh dilarang tampil di pentas ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah palsu.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata BN mengalu-alukan semua pihak yang boleh membantu kemenangan kepada calonnya di Nenggiri untuk membantu kempen dalam PRK berkenaan.

“Setakat ini kita mengalu-alukan semua pihak yang boleh memenangkan calon BN di Nenggiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Desaru Convention Centre di sini hari ini. 

Terdahulu tular surat dengan kepala surat bertanda BN menyatakan gabungan parti itu menghalang empat individu termasuk Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli tampil di pentas ceramah pada PRK DUN Nenggiri.

Dalam satu kenyataan hari ini BN memaklumkan kenyataan palsu seperti itu adalah mainan politik untuk memecah belahkan perpaduan di dalam kerajaan sekarang.

Sementara itu ditanya mengenai strategi pengumuman awal calon BN pada PRK Nenggiri, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata ia dibuat supaya calon tersebut boleh turun ke akar umbi bagi menyantuni pengundi di kawasan itu lebih awal.

Beliau berkata terdapat 20 pusat daerah mengundi (PDM) di DUN Nenggiri, dan parti sudah menyelaras pergerakan calon untuk pergi kesemua PDM berkenaan.

Ahmad Zahid berkata ada sembilan PDM membabitkan kampung tradisional, lima PDM di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan satu PDM di bawah FELDA yang kesemuanya sudah diambil kira dan telah dilakukan penyelarsan jentera.

"Pengarah Pilihan Raya Kecil DUN Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang juga telah berbincang dengan saya mengenai pendekatan dan kaedah berkesan untuk kempen di kawasan berkenaan," katanya.

Pada 7 Julai lepas, UMNO Kelantan mengumumkan Ketua Pemudanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon PRK DUN bulan depan.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan