AM

TUTUP, GABUNG 23 ANAK SYARIKAT KKDW BAWA PERUBAHAN DRASTIK - ZAHID

25/07/2024 05:33 PM

KOTA TINGGI, 25 Julai (Bernama) -- Tindakan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menutup dan menggabungkan 23 anak syarikat agensinya yang gagal menjana keuntungan membawa perubahan drastik kepada prestasi entiti berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri  Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri KKDW  berkata laporan prestasi awal menyatakan 100 anak syarikat agensi di bawah kementerian itu telah menunjukkan keuntungan secara keseluruhannya.

“Kita telah dapat melepasi tahap syarikat yang menjadi ‘cost centre’ kepada ‘profit centre’. ini adalah merupakan kejayaan awal yang dapat dicapai oleh KKDW,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan di Pemukiman Program Utama KKDW di Pusat Konvensyen Desaru, Bandar Penawar di sini hari ini.

Katanya, langkah penggabungan anak syarikat yang gagal menjana keuntungan dengan syarikat yang untung juga telah dapat mengelakkan daripada pembuangan kakitangan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata antara anak syarikat yang mencatat keuntungan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah Perda Venture dengan rekod keuntungan RM2.7 juta dan KEDA Group of Companies  berjumlah RM243,706.

Selain itu, beliau juga mahu syarikat yang beroperasi di kawasan yang makmur serta mempunyai akses lebih baik kepada tenaga kerja mahir, teknologi maju dan sumber kewangan untuk membantu syarikat lain berkembang dan mencipta keuntungan.

Dalam pada itu,  Ahmad Zahid turut menekankan warga KKDW untuk menerapkan nilai ekonomi sosial dengan menyepadukan kedua-dua faedah kewangan dan bukan kewangan untuk pembangunan dan kesejahteraan keseluruhan masyarakat desa.

Beliau berkata bagi memastikan teras nilai sosioekonomi tersebut,  peluang pekerjaan perlu diwujudkan selain memberikan akses pendidikan berkualiti  bagi memperkasakan warga desa mencipta inovasi dan memacu pertumbuhan ekonomi.

“Yang terakhir, dengan akses kepada infrastruktur dan bantuan kewangan yang baik, ia bukan sahaja dapat menjamin kualiti hidup yang lebih sempurna tetapi mengangkat martabat mereka untuk menyumbang kepada negara.

“Kesimpulannya, konsep yang saya bawakan ini adalah pendekatan holistik dalam mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan kesaksamaan sosial,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan